OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ini sebuah kitab akidah yang biasa dijadikan teks pengajian di masjid-masjid di Malaysia. Saya sendiri sempat mengikuti beberapa siri huraian oleh Syeikh Wazīr Kota, ulama pondok terkenal Kelantan di masjid kampung kami pada tahun 2008 dan 2009. Hal ini tidak menghairankan kerana sebagaimana kata penulisnya, Hj. Sa’īd b. Hj. Ibrāhīm yang merupakan Mufti Sabah dari tahun 1983 hingga 1988, “kitab ini disusun berdasarkan kurikulum kelas pengajian ta‘mīr masjid dan surau.”
Walaupun Tok Guru Hj. Sa’īd menolak akidah Imam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya yang lain, penjelasan mengenai keimanan kepada Allah dalam kitab ini mempunyai persamaan yang ketara dengan konsep pembahagian tauhid kepada rubūbiyyah, ulūhiyyah, dan asmā’ wa-ṣifāt yang disebutkan oleh Syeikh ‘Abd al-Qādir al-Mandīlī dalam Perisai Sekalian Mukallaf dan sebelumnya, oleh ulama-ulama aliran Salafī yang lain. Katanya, “beriman dengan kewujudan Allah adalah bermakna beriman rubūbiyyah-Nya, beriman dengan ulūhiyyah-Nya, dan beriman dengan asmā’ dan sifat-sifatnya.”
Berbeza dengan pendekatan pembahagian tauhid kepada tiga yang umum, beliau meletakkan perihal beriman dengan asmā’ dan sifat Allah di bawah cakupan beriman dengan ulūhiyyah-Nya. Katanya, “sehubungan dengan ini, tauhid al-ulūhiyyah tertakluk di bawahnya tauhid al-asmā’ dan tauhid al-ṣifāt, iaitu dengan makna yang ijmali ialah mengiktikadkan dengan iktikad yang jazam...” Jadi, tauhid di sisi beliau terbahagi kepada dua sahaja: tauhid al-rubūbiyyah dan tauhid al-ulūhiyyah.
Kitab ini tidak membahaskan khilaf antara aliran-aliran yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah secara terperinci, sebaliknya menyentuh masalah berkaitan secara umum dan permukaan sahaja, dan itu pun tanpa jelas memihak kepada mana-mana aliran. Sebagai contoh katanya ketika menjelaskan tauhid al-asmā’ dan tauhid al-ṣifāt, “tidak loba untuk mengetahui kaifiyyāt dan kedudukan sifat Allah taala kerana wajib wajib bagi setiap orang yang mukallaf beriman – mempercayai sifat-sifat Allah yang telah didapati nas-nasnya di dalam al-Quran dan al-sunnah tanpa mempersoalkan kaifiyyāt dan keadaan sifat-sifat Allah taala itu, dan tidak membahaskan (tidak memeriksa) keadaan sifat-sifat Allah SWT itu kerana tiada siapa pun yang dapat mengetahui hakikat sifat-sifat Allah melainkan Allah taala jua.”
Disebutkan tadi bahawa Hj. Sa’īd mengingkari pegangan akidah yang dipertahankan oleh Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah dan kitab yang sedang diperkatakan ini juga dijadikan teks pengajian oleh guru pondok sehingga ke hari ini selain Hj. Sa’īd sendiri mempunyai latar belakang pengajian pondok, tetapi anehnya kitab-kitab akidah yang menjadi rujukan beliau ketika menulis kitab Aqidah Ahli Sunnah Waljamaaah ini – sebagaimana yang disebutkan di akhir kitab – adalah seperti berikut:
1. Sharḥ al-‘Aqīdah al-Ṭaḥāwiyyah oleh Imam Ibnu Abī al-‘Izz al-Dimashqī.
2. Fatāwā al-‘Aqīdah oleh Syeikh Fahd b. Nāsīr al-Sulaymān. (Sebetulnya oleh Syeikh al-‘Uthaymīn dan Syeikh Fahd sekadar menghimpun dan menyusun.)
3. Al-‘Aqā'id al-Islāmiyyah oleh Syeikh Sayyid Sābiq.
4. Minhāj al-Muslim oleh Syeikh Abū Bakr al-Jazā’irī.
5. Tawḥīd al-Khāliq oleh Syeikh ‘Abd al-Majīd al-Zindānī.
6. Fatḥ al-Majīd oleh Syeikh Ibnu Bāz. (Sebetulnya oleh Syeikh ‘Abd al-Raḥmān Ālu al-Shaykh dan Syeikh Ibnu Bāz menyemak dan membuat ta‘līqāt.)
7. Al-Imān oleh Syeikh Muḥammad Na’īm Yāsīn.
8. ‘Aqīdah al-Mu’min oleh Syeikh Abū Bakr al-Jazā’irī.
9. Al-Farq bayn al-Firaq oleh Imam ‘Abd al-Qāhir al-Baghdādī.
Daripada kata-kata Hj. Sa’īd, “kitab ini disusun berdasarkan nas-nas al-Quran dan al-sunnah dan juga beberapa kitab akidah yang muktabar untuk mempastikan kesahihan sesuatu fakta yang dimuatkan dalam kitab ini” sebelum menyenaraikan kitab-kitab ini jelas bahawa semua kitab ini adalah muktabar di sisi beliau. Namun, agak mengejutkan kerana kitab no. 1, 2, 4, 6, dan 8 adalah kitab Salafī tulen yang menjadi rujukan utama mereka. Syeikh Shu‘ayb al-Arna’ūṭ, muḥaddith dan muḥaqqiq terkenal mengaku menjadi Salafī setelah mentahkik kitab no. 1. Kitab no. 5 dan 7 pula ditulis oleh ulama yang berakidah Salafī. Lebih menghairankan apabila kitab no. 7 iaitu al-Imān telah diharamkan di negeri Selangor pada 22 Januari 2016, dengan alasan berikut:
“i. Pengarang menyatakan bahawasanya berpegang kepada mazhab Salaf dan tidak berpegang kepada mazhab Khalaf mengenai sifat-sifat Allah.
ii. Kitab ini tidak mengikut aliran Ahli Sunnah Waljamaah.
iii. Mengetengahkan pembahagian tauhid rubūbiyyah, ulūhiyyah, dan asmā’ wa-ṣifāt yang dipelopori oleh Muḥammad b. ‘Abd al-Wahhāb, BUKAN daripada Ahli Sunnah Waljamaah.”
Ada kemungkinan ulama kelahiran Kelantan ini mengubah pendirian mengenai Ibnu Taymiyyah dan alirannya kemudiannya, namun masalahnya kitab ini diulang cetak sehingga ke tahun beliau meninggal dunia, 2001. Atau, kemungkinan lainnya kitab ini ditulis bersama rakan-rakan yang bermanhaj Salafī tetapi dinisbahkan kepada Tok Guru Hj. Sa‘īd sahaja, tetapi kemungkinan ini seperti keterlaluan dan tidak disokong dengan apa-apa fakta.
Wallahualam tentang semua ini tetapi yang pasti, kitab setebal lebih 300 muka surat dan mempunyai versi jawi dan rumi ini masih diterima dan diajar di masjid-masjid dan surau-surau di Malaysia.
[Gerakan PENA Malaysia]

Comments
Post a Comment