Setialah Dengan Salafiyyah!

OLEH: Muhammad Adam Iman.

Setialah dengan Salafiyyah. Ketahuilah, bahawa musang berbulu ayam itu lebih bahaya berbanding serigala yang tampak nyata. Inilah jalan Salafiyyah, yang sama sekali berbeda dengan selainnya dalam kalangan ahli batil. Qul hadhihi sabili. Manhaj Salaf bukan sekadar iktikad peribadi, ia merangkumi metod memilih guru dan rakan, metod penghujahan dan pendalilan, approach dan penyebaran. Bukan boleh reka-reka sendiri. Nampak sangat ingat Salafi ini setakat tidak qunut, tidak tahlil, mintak dalil, sensitif sahih-daif-palsu sahaja. Kasihan.

Bacalah kitab-kitab salaf, terutamanya kitab akidah mereka yang bersanad. Bacalah untaian kata dan nasihat mereka. Benda ini sudah lama, mereka sudah ingatkan kita tentang bahayanya. Hanya sahaja kita yang mudah terpesona dan terpedaya. Saidina Abdullah ibn Abbas malah enggan mendengar bacaan Quran ahli bidaah, sedangkan bacaan Quran itu tiada kaitan dengan bidaahnya. Itu tara Abdullah ibn Abbas. Habr al-Ummah, Turjuman al-Quran. Yang didoakan kefaqihan dalam agama & Tafsir al-Quran oleh baginda Nabi. Sallallah alayh wasallam.

Apabila kami marah kepada puak yang melakukan falasi orang-jerami kepada Salafi, tidak menghormati kalam para Salaf al-Salih dalam akidah; lantas kami dituduh ekstrim. Silakan. Allah azza wajalla tahu betapa siapa dalam kalangan kita yang benar-benar berusaha menghormati Salaf al-Salih dan berusaha menuruti manhaj mereka semaksimumnya.

والله لو كرهت يدي أسلافها × لقطعتها ولقلت سحقًا يا يدي
"Demi Allah, jika tanganku sendiri membenci para Salaf,
Akan ku potong tangan ini dan ku katakan: "Binasalah kau, hai tanganku."

Yang rasa normal dengan ketiadaan adab mereka terhadap salaf, atas nama muktadil. Silalah. Anda bertanggungjawab dengan Allah atas pilihan anda itu. Kalau boleh, kita mahu dibangkitkan di belakang Abdullah ibn al-Mubarak, Ahmad ibn Hanbal, Ishaq bin Rahawayh, dll salaf.

Inilah jalan kami. Kami bertemu Allah dengan keyakinan ini. Di hadapan Allah jua segala keputusan akan termeterai.

{قالَ رَبِّ احكُم بِالحَقِّ وَرَبُّنَا الرَّحمنُ المُستَعانُ عَلى ما تَصِفونَ}
"Berkatalah [sang Rasul]: Tuhan, putuskanlah hukum dengan Kebenaran [dari sisi-Mu]. Kepada Yang Maha Pengasih jua kami memohon pertolongan [minta lindung], daripada segala apa yang mereka [pengingkar] katakan." –al-Anbiya: 112

Para salaf al-salih juga amat melarang bermajlis bersama ahli bidaah. Ini antara prinsip akidah mereka. Abdullah bin Awn berkata, "Mereka yang duduk bersama ahli bidaah, lebih besar kesalahannya di sisi kami berbanding ahli bidaah itu sendiri." Abdullah bin Awn ialah murid kepada Said bin Jubayr, Mujahid bin Jabr, Hasan al-Basri, al-Sha'bi, Muhammad bin Sirin. Beliau ialah guru kepada Sufyan al-Thawri, Shu'bah ibn al-Hajjaj, Abdullah ibn al-Mubarak, dll petinggi salaf.



Comments