Hari Raya Aidilfitri: Ikut Anak Bulan Atau Falak?

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Umat Islam disyariatkan menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila mereka melihat anak bulan Syawal. 

Demikian  adalah pendirian sekalian para ulama berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ.

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan (masuknya bulan Ramadan) dan berbukalah kamu apabila kamu melihatnya (menyambut Hari Raya Aidilfitri). Dan sekiranya terdapat awan yang menghalang (daripada melihat anak bulan) maka genapkanlah hitungan (30 hari).”  

[Sahih. Riwayat Muslim]

Ini bererti bahawa ilmu falak hanya boleh digunakan untuk membantu sedangkan penampakan anak bulan itulah yang menjadi penentu. 

Tetapi kekeliruan boleh timbul apabila umat Islam terlalu bergantung pada ilmu falak dalam penentuan tarikh hari raya sehingga ada pihak-pihak tampil mempersoalkan kewajaran umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri berdasarkan rukyah (melihat anak bulan). 

Ini tidak wajar berlaku kerana asas penentuan tarikh jatuhnya Hari Raya Aidilfitri sememangnya berdasarkan rukyah anak bulan Syawal dan bukan mengikut hisab takwim falak.

Hanya sahaja ada perselisihan dalam kalangan para ulama berkenaan isu perbezaan masa terbit anak bulan (اختلاف المطالع) sama ada penampakan anak bulan di satu tempat boleh diguna pakai untuk tempat-tempat yang lain. 

Menurut Syeikh Said Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunah, majoriti para ulama berpendirian bahawa perbezaan masa terbit anak bulan tidak memberi apa-apa kesan. 

Ini bermaksud sekiranya penduduk di sesebuah tempat melihat anak bulan Syawal maka wajiblah atas  umat Islam di tempat-tempat lain menyambut hari raya keesokan harinya. 

Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ di atas “Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan (masuknya bulan Ramadan) dan berbukalah kamu apabila kamu melihatnya (menyambut Hari Raya Aidilfitri).”

Hadis ini bersifat umum ditujukan kepada semua umat Islam. 

Mana-mana individu Muslim yang diterima kesaksiannya melihat anak bulan maka kesaksiannya itu akan diguna pakai buat seluruh umat Islam. 

Jika diamati pendirian jumhur ulama dalam permasalahan ini, jelas ia lebih ideal dan menepati roh syariat yang menekankan kesatuan dan melarang perbalahan di samping dapat membolehkan negara-negara Islam  menyambut hari raya Aidilfitri serentak di seluruh dunia. 



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments