Kemuliaan Muslim dan Budaya Lucah

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

Kehidupan Muslim yang sebenar dan kebahagiaan mereka yang kekal ialah apabila agama Islam dimartabatkan manakala Muslim saling membantu antara satu sama lain untuk memenangkan agama Allah ﷻ ini. 

Firman Allah ﷻ: 

“Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan dalam keadaan dia beriman maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kehidupan yang baik.” 

[Al-Quran, al-Nahl, 16:97]

Firman Allah ﷻ lagi: 

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.” 

[Al-Quran, Taha, 20: 124]

Kehidupan yang sempit ialah kehidupan yang sengsara, tiada keberkatan, amalan orangnya buruk dan sumber rezekinya jijik. 

Kecenderungan segelintir pihak yang mahu membawa budaya filem lucah dalam kalangan masyarakat sangat mendukacitakan. 

Ia merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab. 

Hampir sahaja mereka mahu membuka pintu yang kesudahannya akan meruntuhkan agama, akhlak, keluarga dan masyarakat seperti mana yang berlaku sekarang di negara-negara Barat. 

Kesan berleluasanya budaya lucah di Barat mengakibatkan masyarakat di sana menjauh daripada agama, perzinaan melonjak tinggi, masalah rumah tangga meningkat, angka perceraian dan anak luar nikah bertambah, masalah-masalah sosial dan jenayah melambung tinggi... 

Inilah sekelumit apa yang dapat diperkatakan tentang keadaan di sana. 

Benarlah sabda Nabi ﷺ: 

“Kamu akan ikut jejak langkah orang-orang sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kalau seseorang daripada kalangan mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun nescaya kamu pun akan turut sama.” 

[Sahih. Riwayat al-Hakim] 

Ternyata ada dalam kalangan Muslim di negara ini yang mahu turut sama dengan orang Yahudi dan Nasrani masuk ke dalam lubang biawak. 

Lebih pelik apabila dia merasa bangga dan gembira dengan perbuatannya itu kerana menganggapnya satu pencapaian dan  kemajuan. 

Daripada Allah ﷻ jua kita memohon perlindungan untuk diri dan keluarga supaya tidak terjebak sama. 


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments