Membantah Hujah Zikir Menari

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


- Sanggahan dalil-dalil lawan

Pertamanya, ada perbahasan dalam kalangan para ulama berkenaan hukum menari bagi kaum lelaki. 

Majoriti para ulama memakruhkannya dengan alasan bahawa ia merupakan perbuatan yang hina (دَنَاءَةٌ), bodoh (سَفَهٌ), menjatuhkan kewibawaan(مُرُوءَةٌ)  dan termasuk dalam hal-hal yang melalaikan (لَهوٌ). 

[al-Mauwsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/10]

Ini kerana firman Allah ﷻ: 

وَلَا تَمۡشِ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّكَ لَن تَخۡرِقَ ٱلۡأَرۡضَ وَلَن تَبۡلُغَ ٱلۡجِبَالَ طُولا.

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

[Al-Quran, al-Israa’, 17:37]

Kata Imam al-Qurtubi dalam kitab Tafsirnya: 

اسْتَدَل العُلَماء بِهَذِهِ الآيةِ عَلى ذَمّ الرَّقْص وَتَعَاطِيه، قَالَ الإمَام أبُو الوَفَاء بن عَقِيل: قَدْ نَصّ القُرآن عَلى النَّهْي عَنْ الرّقْص فَقَال: وَلا تَمشِ فِي الأرْضِ مَرحًا. وَذَمّ المخْتَال، وَالرّقْص أشَدّ المرح وَالبَطر.

“Para ulama berdalilkan ayat ini mencela tarian dan mempraktikkannya. Menurut Imam Abu al-Wafa’ bin Aqil: Nas Al-Quran melarang tarian dalam firmanNya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Di samping mencela orang yang angkuh. Sedangkan tarian adalah seberat-berat kesombongan dan keangkuhan.” 

Adapun jika tarian itu disertai dengan meminum arak, mendedahkan aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan seumpamanya maka hukumnya haram secara sepakat. 

Mengenai amalan zikir menari pula, perlu ditegaskan bahawa tiada sama sekali contoh daripada Nabi ﷺ, para Sahabat mahupun ulama-ulama muktabar sepanjang zaman yang melakukannya atau mengharuskannya. 

Justeru ia ditegah kerana ia termasuk dalam erti tokok tambah serta mengada-adakan amalan-amalan baharu dalam Agama. 

Sabda Nabi ﷺ: 

وإيَّاكُمْ ومُحْدَثاَتِ الأمُور، فَإنّ ‌كُلَّ ‌بِدْعَةٍ ‌ضَلالةٌ.

“Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah (pembaharuan dalam agama) ialah kesesatan.” 

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Sabdanya ﷺ lagi: 

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak." 

[Sahih. Riwayat Muslim] 


SANGGAHAN DALIL-DALIL LAWAN 

Terdapat sebahagian kelompok yang membenarkan tarian bagi lelaki dan menganjurkan amalan zikir menari dengan mengemukakan dalil-dalil berikut: 

1. Firman Allah ﷻ: 

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰما وَقُعُودا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ.

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3: 191]

Kata Imam al-Tabari dalam kitab Tafsirnya: 

“Maksudnya berdiri ketika solat, duduk ketika tasyahud dan ketika di luar solat manakala berbaring iaitu ketika tidur.” 

Kata Imam Ibnu Kathir dalam kitab Tafsirnya: 

“Ia sebagaimana sabit dalam Sahih Bukhari daripada Imran bin Husain bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda: Solatlah berdiri, jika tidak mampu maka duduk dan jika tidak mampu maka secara berbaring mengiring.” 

Jelas bahawa ayat Al-Quran di atas tiada kaitan langsung dengan amalan zikir menari.  

2. Hadis Tarian Orang-orang Habsyah:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَت: دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي، وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ عَلَيْهِ السَّلَامُ فَقَالَ: دَعْهُمَا. فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا فَخَرَجَتَا. وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالْحِرَابِ، فَإِمَّا سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِمَّا قَالَ: ‌تَشْتَهِينَ ‌تَنْظُرِينَ. فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَأَقَامَنِي وَرَاءَهُ، خَدِّي عَلَى خَدِّهِ، وَهُوَ يَقُولُ: دُونَكُمْ يَا بَنِي أَرْفِدَةَ. حَتَّى إِذَا مَلِلْتُ، قَالَ: حَسْبُكِ. قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَاذْهَبِي. 

“Daripada Aisyah katanya: Rasulullah ﷺ masuk ke dalam rumah dan waktu itu ada dua orang perempuan hamba yang sedang menyanyikan nyanyian Bua’th. Baginda berbaring atas tilam dan memalingkan wajahnya. Kemudian Abu Bakar datang dan memarahiku seraya berkata: Seruling syaitan di hadapan Nabi ﷺ? Rasulullah ﷺ berpaling kepadanya dan berkata “Biarkan sahaja mereka berdua.” Ketika Abu Bakar terleka maka aku pun menjeling kepada kedua-dua perempuan hamba itu dan mereka berdua pun beredar keluar rumah. Kata Aisyah lagi: Pada Hari Raya ramai orang Sudan (orang berkulit hitam) bermain senjata dan perisai. Terkadang aku meminta daripada Nabi ﷺ dan terkadang baginda sendiri berkata “Engkau mahu lihat?” Aku menjawab “Ya.” Lalu baginda menempatkan aku di belakangnya dengan pipiku di sisi pipinya. Baginda berteriak “Ayuh wahai Bani Arfidah (gelaran buat orang-orang Habsyah)!”Sehingga apabila aku sudah jemu baginda bertanya “Cukup?” Aku pun menjawab “Ya.” Baginda berkata “Jika begitu silakan pergi.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 949 dan Muslim, no. 892] 


Kata Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim: 

“Terdapat keharusan bermain senjata dan sebagainya daripada alat-alat perang di dalam masjid. Ia turut merangkumi segala apa sebab yang membantu dalam jihad.” 


Kata Ibnu Hajar dalam Fathulbari: 

“Hadis ini dijadikan dalil bagi mengharuskan permainan senjata dengan cara bertarung sebagai latihan perang dan persediaan untuknya”.

Demikian lafaz hadisnya serta penjelasan para ulama perihal maksudnya. 

Orang-orang Habsyah itu sama sekali tidak menari seperti mana yang sebahagian memahaminya dan tidak pula berzikir membaca lafaz-lafaz tertentu bagi mengingati Allah ﷻ. 

Sebaliknya tarian yang mereka lakukan ialah tarian permainan perang dengan alat-alat senjata  jihad fi sabilillah.  

3. Hadis Zaid, Jaafar dan Ali radhillahu anhum ‘Berhajal’:

عَنْ عَلِيٍّ، قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَجَعْفَرٌ، وَزَيْدٌ، قَالَ: فَقَالَ لِزَيْدٍ: " أَنْتَ مَوْلَايَ " ‌فَحَجَلَ، قَالَ: وَقَالَ لِجَعْفَرٍ: " أَنْتَ أَشْبَهْتَ خَلْقِي وَخُلُقِي "، قَالَ: ‌فَحَجَلَ وَرَاءَ زَيْدٍ، قَالَ: وَقَالَ لِي: " أَنْتَ مِنِّي، وَأَنَا مِنْكَ "، قَالَ: فَحَجَلْتُ وَرَاءَ جَعْفَرٍ.

“Daripada Ali katanya: Aku mendatangi Nabi ﷺ bersama Jaafar dan Zaid. Nabi ﷺ berkata kepada Zaid “Engkau maula aku.” Mendengar kenyataan tersebut Zaid ‘berhajal’ (mengangkat sebelah kakinya berjalan sebagai tanda gembira). Setelah itu baginda ﷺ berkata kepada Jaafar “Engkau menyerupai rupa parasku dan akhlakku.” Mendengarnya Jaafar pun turut ‘berhajal’ di belakang Zaid. Nabi ﷺ kemudian berkata kepadaku “Engkau daripadaku dan aku daripada engkau.” Mendengar kata-kata tersebut aku pun ‘berhajal’ di belakang Jaafar.” 

[Riwayat Imam Ahmad]


Dalam riwayat lain Nabi ﷺ mempersoalkan perbuatan Jaafar ‘berhajal’ dan beliau menjelaskan bahawa ia merupakan amalan orang-orang Habsyah di hadapan raja mereka. 

Kedua-dua riwayat di atas dipertikaikan kesahihannya dan sebahagian ilmuwan mendaifkannya. 

Walau apa pun, tiada dalil dalam riwayat-riwayat ini membolehkan tarian dengan lenggok gerak-geri lembut menyerupai perempuan ataupun amalan zikir menari dengan cara terlompat-lompat dan terkinja-kinja sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian kelompok. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments