Tuntutan Berjabat Tangan

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

- Harusnya berpeluk
- Larangan tunduk 
- Syarat-syarat mencium tangan guru / ulama

Sabda Nabi ﷺ: 

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا.
“Tidak ada dua Muslim yang bertemu lalu mereka berjabat tangan melainkan diampunkan kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah.” 
[Sahih. Riwayat Abu Daud]


BERPELUK SETELAH LAMA TIDAK BERJUMPA 

Kata Anas bin Malik radiallahuanhu: 

كَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَلَاقَوْا تَصَافَحُوا، وَإِذَا قَدِمُوا مِنْ سَفَرٍ تَعَانَقُوا.
“Para Sahabat Nabi ﷺ ketika bertemu mereka berjabat tangan, dan ketika tiba daripada perjalanan jauh (musafir) mereka berpeluk.” 
[Hasan. Riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat]


LARANGAN TUNDUK RUKUK KEPADA MANUSIA
(APATAH LAGI SUJUD)

Sabda Nabi ﷺ: 

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ».
“Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada kami bertemu saudaranya atau rakannya, adakah dia tunduk untuknya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia berkata: Apakah dia memeluknya dan menciumnya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia bertanya lagi: Apakah dia mengambil (sebelah) tangannya dan menjabatnya? Jawab Nabi ﷺ “Ya.” 
[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Nabi ﷺ dalam hadis di atas secara tegas melarang perbuatan tunduk kepada sesama manusia. 

Tiada sebarang pengecualian yang diberikan oleh baginda ﷺ dalam hal ini. 

Sebaliknya baginda ﷺ menganjurkan supaya Muslim saling berjabat tangan (dengan sebelah tangan) apabila bertemu. 


MENCIUM TANGAN GURU / ULAMA

Terdapat banyak hadis dan athar yang menunjukkan bahawa ianya sabit daripada Nabi ﷺ dan para Sahabat. 

Maka dibolehkan mencium tangan guru / ulama jika syarat-syarat berikut ditepati: 

1. Ia tidak boleh dijadikan sebagai kebiasaan; di mana si guru langsung menghulurkan tangannya apabila bertemu muridnya manakala si murid beria-ria mencium tangan si guru untuk mengambil berkat. Tiada hal seperti ini dalam syarak.  

Ini kerana walaupun para Sahabat ada mencium tangan Nabi ﷺ tetapi hal ini bukanlah suatu kebiasaan yang mereka lakukan setiap kali bertemu baginda ﷺ. 

Maka sesuatu yang jarang dilakukan oleh Nabi ﷺ tidak boleh dijadikan sebagai suatu amalan kebiasaan yang dilakukan secara berterusan.  

2. Hendaklah perbuatan tersebut tidak mendorong si guru merasa takabur dan memandang rendah kepada orang lain seperti mana keadaan sebahagian guru pada hari ini.

3. Hendaklah amalan mencium tangan tidak sampai memansuhkan amalan berjabat tangan yang ditetapkan oleh syarak dan disyariatkan dengan perbuatan dan kata-kata Nabi ﷺ.   

Berjabat tangan menjadi asbab tergugurnya dosa-dosa kedua-dua orang yang berjabat tangan itu. 

Maka berjabat tangan itu yang sewajarnya diutamakan. 

Adapun mencium tangan maka ia diharuskan dengan syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.   


[Gerakan PENA Malaysia]

  


Comments