OLEH: Ustaz Idris Sulaiman
- Tatacara pelaksanaan
- Jangan lebih dua rakaat
Muslim dianjurkan mengerjakan solat sunat (qabliyah) sebelum Subuh sebanyak dua rakaat.
Daripada Hafsah radiallahuanha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ إذا طَلَعَ الْفَجْرُ لَا يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ.
“Rasulullah ﷺ jika sudah terbit fajar baginda tidak akan solat (sunat) kecuali dua rakaat ringkas.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Solat sunat dua rakaat ini hendaklah dilaksanakan secara ringkas. Jangan dilengah-lengahkan atau dipanjang-panjangkan.
Daripada Aisyah radiallahuanha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يُخَفِّفُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الصُّبْحِ، حَتَّى إِنِّي لَأَقُولُ: هَلْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ.
“Nabi ﷺ kebiasaannya meringkaskan solat dua rakaat sebelum solat Subuh sehingga aku tertanya-tanya sama ada baginda membaca surah al-Fatihah (atau tidak)?”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Nabi ﷺ sangat prihatin menjaga solat sunat dua rakaat Subuh ini sehingga Aisyah radiallahuanha berkata:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ ﷺ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ تَعَاهُدًا مِنْهُ على رَكْعَتي الْفجْر.
“Tidak ada satu pun solat sunat yang dijaga secara bersungguh-sungguh oleh Nabi ﷺ lebih daripada solat (sunat) dua rakaat Subuh.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ini kerana kelebihan dan fadilat melaksanakan solat sunat dua rakaat Subuh ini di mana Nabi ﷺ bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا.
“Dua rakaat (solat sunat) Subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Solat sunat dua rakaat ini dilaksanakan dengan membaca surah al-Fatihah kemudian surah al-Kafirun pada rakaat pertama manakala pada rakaat kedua dibaca surah al-Ikhlas sesudah selesai membaca al-Fatihah. [Sahih. Riwayat Muslim]
KESIMPULAN
Sesudah terbit fajar dan sebelum menunaikan solat fardu Subuh, Muslim disunatkan supaya mengerjakan solat sunat sebanyak dua rakaat.
Dalam pelaksanaan solat sunat ini hendaklah dielakkan daripada menambah lebih daripada dua rakaat kerana demikian Sunahnya.
Nabi ﷺ tidak pernah solat sunat sebelum fardu Subuh lebih daripada dua rakaat.
Malah solat sunat dua rakaat ini hendaklah dilaksanakan secara ringkas iaitu dengan membaca al-Fatihah kemudian surah al-Kafirun pada rakaat pertama manakala pada rakaat kedua dibaca surah al-Ikhlas setelah selesai membaca al-Fatihah.
Solat sunat dua rakaat Subuh ini merupakan solat rawatib yang paling dituntut kerana fadilatnya di mana dua rakaatnya itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Nabi ﷺ sangat prihatin menjaganya baik ketika bermukim mahupun sewaktu bermusafir.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment