Orang Yang Cuba 'Meruqyah' Nabi ?

 OLEH: Zulfikar Egar


Semasa dakwah nabi di Mekah. Apa yang tidak dituduh pada diri baginda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam?

Digelar dengan pelbagai gelaran buruk. Disebut-sebut sebagai tukang sihir, penyair, orang gila, dan perbagai lagi.

Hinggakan kisah ini dirakamkan oleh Allah Subhana Wa Ta'ala dalam Surah Al-Hijr, ayat 6;

"Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila".

Kenapa ini berlaku?

Tidak lain tidak bukan, bila baginda digelar dengan pelbagai buruk. Mudah-mudahan orang ramai terutamanya orang dari luar kota Mekah, tidak akan mendekati nabi untuk mendengar seruan dakwah baginda. Itu poin utamanya.

Namun hal ini tidak berlaku. Walau berbagai label atau gelaran buruk dilemparkan ke atas nabi. Tetap saja ada orang yang datang dekat kepada nabi. 

Salah seorangnya ialah Dhimad bin Tha'labah al-Azdi yang merupakan seorang tabib atau peruqyah yang tinggal di luar Mekah.

Dhimad bin Tha’labah al-Azdi ini berasal dari suku Azdi Syanu'ah iaitu sebuah tempat di Yaman. Beliau ini terkenal dengan kepandaian serta kebolehannya merawat berbagai jenis penyakit seperti gila. Bahkan beliau biasa meruqyah orang gila atau disampuk. Dan ramai jugalah pesakitnya yang telah sembuh.

Ketika Dhimad bin Tha’labah al-Azdi sampai di Mekah atas satu urusan. Beliau telah mendengar penduduk Mekah menuduh dan menggelar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ini seorang yang telah terkena penyakit gila. 

Kata penduduk Mekah;

“Sesungguhnya Muhammad itu majnun (gila).”

Bilamana melihat situasi tersebut, muncul dalam benak hati Dhimad bin Tha'labah al-Azdi ini untuk datang berjumpa nabi bagi mengubatinya.

Walaupun Dhimad bin Tha'labah al-Azdi dan Rasulullah tidak saling kenal mengenali antara satu sama lain, namun timbul rasa tanggungjawab dalam diri Dhimad bin Tha'labah al-Azdi untuk mengubati Rasulullah agar pulih darii penyakit gila

Lantas Dhimad bin Tha'labah al-Azdi ini pun pergilah berjumpa Rasulullah dan menawarkan khidmatnya sebagai tabib yang mampu merawat sakit gila. 

Rasulullah tidak mengatakan ya ataupun tidak.

Tetapi baginda membuka bicara dengan mengukir lafaz pujian kepada Allah yang berbunyi:

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ

وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Ertinya: "Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Kami memuji serta meminta pertolongan dari-Nya. Sesiapa yang Allah berikan petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang Allah sesatkan, maka tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selayaknya disembah melainkan Allah, satu-satu-Nya tanpa sekutu. Dan bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan pesuruh-Nya."

Setelah mendengar permulaan ucapan baginda nabi itu, Dhimad bin Tha'labah al-Azdi terpegun dan terpesona bila mendengarnya.

Sebab bagi Dhimad bin Tha'labah al-Azdi, kata-kata atau ucapan nabi itu merupakan satu ungkapan yang sungguh indah hingga membuatkan hati Dhimad bin Tha'labah al-Azdi bergetar ketika mendengar kalimat tersebut buat pertama kalinya. 

Dhimad bin Tha'labah al-Azdi yang begitu terpesona mendengar ucapan nabi itu terus meminta nabi mengulanginya lagi.

Lantas nabi mengulanginya 3 kali dan sebanyak 3 kali itu jugalah Dhimad bin Tha'labah al-Azdi mendengarnya dengan berdebar-debar.

Setelah itu, Dhimad bin Tha'labah al-Azdi pun berkata;

”Sungguh aku telah mendengar ucapan dukun, ucapan tukang sihir, dan penyair, dan saya belum pernah mendengar seperti ucapanmu tadi. Sungguh untaian kalimatmu mencapai kedalaman lautan. Berikan tanganmu, kubaiat kamu bahwa aku masuk islam.”

Di sini Dhimad bin Tha'labah al-Azdi telah mengakui bahawa dia banyak mengembara menuntut ilmu serta mendengar perkataan para pawang, ahli sihir, penyair dan sebagainya.

Tetapi dia tidak pernah mendengar kata-kata seindah perkataan yang diucapkan oleh nabi itu. Maka sedarlah Dhimad bin Tha'labah al-Azdi bahawa orang yang dirawatnya itu bukanlah orang gila. Tetapi merupakan utusan Tuhan yang datang menyampaikan kebenaran Islam.

Wallahualam.

Gambar hiasan semata-mata


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments