Rasulullah Bergurau Melempar Kulit Tembikai

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


- Anjuran Bergurau Senda

- Perbuatan Sahabat Nabi ﷺ

Daripada Bakr bin Abdullah RA, katanya: 

كَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَتَبَادَحُونَ بالبَّطِيخ، فإِذا كَانَت الحَقَائِقُ كَانُوا هُمُ الرِّجَالُ.

"Dahulu para Sahabat Nabi ﷺ saling melempar menggunakan (kulit) tembikai (untuk bergurau) sedangkan dalam situasi serius merekalah lelaki sejati.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad]

Perbuatan Sahabat Nabi ﷺ di atas membawa erti keharusan bergurau senda dengan kenalan dan sahabat handai dalam ruang lingkup yang dibolehkan oleh Syarak di samping tidak bermasam muka dan tidak sentiasa bersikap serius. 

Demikian telah sabit Nabi ﷺ bergurau dengan para Sahabat. Hanya sahaja baginda ﷺ senantiasa menjaga batas-batasnya, tidak sampai berbohong, menyinggung perasaan atau menjatuhkan air muka.

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: 

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، إنَّكَ تُدَاعِبُنَا! قَالَ: إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَّا حَقًّا.

“Mereka berakta: Wahai Rasulullah, engkau bergurau senda dengan kami! Kata baginda ﷺ: (Hanya sahaja) aku senantiasa berkata apa yang benar.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad]

Maksud di sini, perbuatan bergurau senda termasuklah dalam erti Sunah Nabi ﷺ bagi mereka menjaga batas-batasnya. 

Adapun bergurau dengan melemparkan kulit tembikai secara khusus maka ia termasuk dalam kategori adat dan bukan ibadat. 

Dengan kata lain, tidaklah umat Islam disyariatkan untuk bergurau senda dengan melemparkan kulit tembikai secara spesifik sebaliknya cara dan bagaimana untuk bergurau bergantung pada kesesuaian situasi dan keadaan. 

Ini kerana ada perkara yang sesuai untuk sebahagian orang tetapi tidak sesuai untuk orang lain. Seperti mana ada perkara yang menggembirakan sebahagian orang tetapi menyakiti orang lain dan seterusnya.


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

 

Comments