Tiada Hadis Melarang, Hukumnya Harus?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Selalu kita mendengar sebahagian orang mengatakan "tiada hadis sahih yang melarang, maka hukumnya harus" (atau "tiada dalil yang menyuruh, ertinya tidak wajib"). Kata-kata seperti ini diulang-ulang dalam pelbagai masalah dan bab.

Bagi mereka, hukum sabit melalui al-Quran dan hadis yang sahih sahaja. Tiada ayat al-Quran dan hadis yang sahih yang jelas melarang, ertinya hukum sesuatu itu kekal pada keharusan. Dengan mencacatkan kesemua hadis yang melarang, mereka beranggapan bahawa mereka telah berjaya menafikan larangan dan mengisbatkan keharusan.

Peliknya, dalam pada bersungguh mencari 'ilal hadis larangan, mereka bermudah-mudahan menerima riwayat-riwayat daripada sahabat dan salaf yang zahirnya mengharuskan. Bahkan, mereka sambil lewa sahaja mengkaji mazhab sahabat dan salaf dalam sesuatu masalah.

Manhaj ini bukan manhaj fiqh Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā'ah, tetapi manhaj fiqh golongan Ẓāhiriyyah yang tidak memberati masalah ijmak dan khilaf. Sebab itulah, banyak pendapat mereka didapati bercanggah dengan ijmak - termasuk ijmak sahabat - menyebabkan khilaf mereka dianggap tidak muktabar.

Pada zaman mutakhir ini, muncul golongan yang mengikuti manhaj ini secara melampau lalu mendakwa bahawa wanita haid tidak perlu menqada puasa Ramadan dengan alasan semua hadis yang menunjukkan wanita haid wajib mengqada puasa adalah ma'lūl dan ḍa'īf.

Bagi Ahli Sunnah yang mengikuti manhaj fiqh yang benar, seandainya semua hadis tersebut benar-benar lemah pun, ia tidak mengubah apa-apa hukum dalam masalah ini. Sebabnya, kewajipan qada puasa untuk wanita haid dinaskan oleh para sahabat dan salaf dalam athar mereka tanpa sebarang khilaf.

'Abd al-Razzāq al-Ṣan'ānī (211 H) meriwayatkan bahawa al-Zuhrī mengatakan, "wanita haid perlu menggantikan puasa." Ma'mar bertanya, "daripada siapa (diambil kata-kata ini)?" Jawab al-Zuhrī:

هذا ما اجتمع الناس عليه.

“Ini telah disepakati.”

Dan sambungnya lagi:

وليس في كل شيء نجد الإسناد.

"Bukan dalam semua perkara kita menemui sanad (riwayat)."

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments