Zikir ‘HA HA HA’ (Bukan Ketawa)

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Versi terkini selepas zikir ‘Hu Hu Hu’

Beberapa bulan lepas hangat diperkatakan di media sosial tentang kewajaran berzikir dengan menyebut ‘Hu Hu Hu’ yang diketengahkan oleh sesetengah pihak sehingga ada yang menulis kitab mempertahankannya. 

Siapa sangka bahawa zikir pelik ini tidak akan berhenti di situ malah akan terus bertambah pelik dengan bunyi-bunyi yang lebih janggal lagi. 

Terbaru dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial kelihatan sekumpulan jemaah Arab daripada kalangan pengikut aliran tertentu sedang berdiri berzikir dengan menyebut ‘Ha Ha Ha’ pula. 

Bunyinya bukan sahaja pelik malah jelik lagi buruk. 

Sedangkan antara adab-adab yang digariskan oleh syarak hendaklah berzikir dengan cara perlahan-lahan dan secara bersendirian, bukan dengan cara suara kuat dan beramai-ramai. 

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: 

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ.  

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam dirimu (secara bersendirian) dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula meninggikan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau terdiri dalam kalangan orang-orang yang lalai.”

[Al-Quran, al-A’raaf, 7: 205]

Dalam ayat di atas Allah ﷻ memerintahkan Muslim supaya berzikir secara bersendirian dan dengan cara suara perlahan, bukan beramai-ramai dengan suara nyaring.

Jangan lupa antara tujuan utama berzikir ialah untuk menenangkan hati. 

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: 

أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ.  

"Ketahuilah, berzikir dengan menyebut dan mengingati Allah akan tenang tenteramlah hati manusia.”

[Al-Quran, al-Ra’ad, 13: 28]

Adapun berzikir dengan cara-cara seperti dalam video yang dilampirkan jauh sekali akan menenangkan hati.

Apa yang pasti, zikir dengan menyebut ‘ha ha ha’, ‘hi hi hi’ ataupun ‘hu hu hu’ semuanya tidak berasas sama sekali dalam agama malah tiada contohnya daripada Nabi ﷺ ataupun para Sahabat. 

Jelasnya ia menyalahi al-Sunah. 

Sedangkan Nabi ﷺ menegaskan dalam sabdanya: 

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Sabdanya ﷺ lagi: 

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak." 

[Sahih. Riwayat Muslim] 

CATATAN

Tidak dapat dibayangkan sekiranya pengikut-pengikut daripada kalangan aliran-aliran seperti ini menguasai kedua-dua masjid di Tanah Suci. 

Haru biru akan dibuatnya dengan bunyi-bunyi pelik ini bergema di corong-corong pembesar suara Masjidilharam dan Masjid Nabi yang pastinya akan menimbulkan suasana riuh rendah dalam kalangan para jemaah. 

Jangan haraplah waktu itu hendak merasa tenang tenteram dalam suasana bising begitu. 

Syukur atas nikmat Islam dan al-Sunah. 

[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments