'Maula' / Maulana

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Sejauh mana kewajarannya 

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna. 

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya. 

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya. 

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan. 

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah. 

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka. 

Firman Allah ﷻ: 

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya: 

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.  

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.” 

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11] 


SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar. 

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan. 

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.  

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain. 

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’. 

Di bawah hadis: 

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.” 

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan. 

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil. 

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا 

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak. 

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي 



KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.   

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments