Keturunan Nabi ﷺ

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Cara betul menilai seseorang

Baru-baru ini ada yang bertanya tentang sejauh mana kebenaran dakwaan yang mengatakan bahawa individu dalam gambar yang dilampirkan merupakan keturunan Rasulullah ﷺ daripada susur jalur zuriat Syeikh Abdul Qodir al-Jailani (ulama mazhab Hanbali, wafat 561H).

Saya berpandangan bahawa memastikan kebenaran dakwaan ini tidak penting kerana sudah ramai individu lain yang turut mendakwa sedemikian sedangkan pada hari ini tiada jalan untuk memastikan kesahihan dakwaan-dakwaan tersebut. 

Maka ia hanyalah dakwaan.  

Apa yang perlu ditekankan ialah sejauh mana seseorang Muslim itu berpegang kepada akidah dan manhaj Salaf al-Soleh kerana inilah jaminan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Penilaian terhadap seseorang itu juga seharusnya tertumpu pada sejauh mana keimanan dan ketakwaannya kepada Allah ﷻ dalam melaksanakan suruhan-suruhan serta menjauhi larangan-larangan Allah ﷻ. 

Ini kerana Allah ﷻ berfirman:

إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ.

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu.” 

[Al-Quran, al-Hujuraat, 49: 13]

Inilah kayu mengukur untuk menentukan kedudukan seseorang individu itu sama ada baik atau buruk. 

Bukan keturunannya. 

Malah keturunan seseorang itu tidak bermakna apa-apa jika kedudukan agamanya rosak  seperti mana Abu Lahab yang datang daripada keturunan Nabi ﷺ (pakcik sebelah bapa baginda ﷺ) tetapi beliau merupakan individu yang sesat dan telah mati dalam keadaan kufur, nauzubillah.

Sabda Nabi ﷺ: 

ومَنْ بَطَّأ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بهِ نَسَبُهُ.

“Barang siapa amalannya melambatkannya maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Dalam hadis di atas Nabi ﷺ menegaskan bahawa barang siapa amalannya tidak dapat membantunya masuk ke syurga (kerana amalan baiknya kurang atau tidak ada

 sama sekali) maka nasabnya tidak akan berguna dan tidak akan dapat mengubah nasibnya itu. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. 


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments