OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ada muntaqibah mempersoalkan, bagaimana wanita berniqab hendak mencari calon dengan mudah, kalau mereka tidak mendedahkan kecantikan dan gambar - hatta gambar mata dan dahi - kepada lelaki seperti wanita-wanita lain?
Ada banyak cara, tapi kalau hendak dibandingkan dengan wanita yang tidak berniqab, sudah tentu lebih lambat dan sukar. Cara tradisional, kalau hendak cepat, mereka sendiri yang meminang lelaki tersebut dan menanti majlis khitbah untuk memperlihatkan kecantikan. Jika tidak, menunggu lelaki datang meminang, tapi ini agak lambat kerana lelaki waswas cantik atau tidak. (Barangkali sebab itulah, Baitul Muslim Salafi Malaysia yang saya buat tidak berjaya).
Cara lain, mempamerkan kecantikan kepada wanita lain, seperti yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Saudi semasa walimah. Mereka melawa dalam keadaan tidak bertudung dan berpakaian cantik (tanpa dilihat ajnabi, kerana majlis tertutup). Jika bernasib baik, mereka akan dikenenkan dengan lelaki yang menjadi mahram wanita yang terpegun dengan kecantikan mereka.
Di sebuah laman web cari jodoh multazimin dan multazimat, peserta perlu menilai sendiri rupa sama ada cantik, sangat cantik, sederhana, atau biasa. Ini juga satu alternatif yang baik bagi menggantikan gambar, tapi kurang meyakinkan kerana kecantikan itu nisbi.
Apakah dalil boleh menawarkan diri kepada lelaki yang disukai dengan memperlihatkan rupa dan kecantikan kepadanya (termasuk dengan menggunakan "story")? Hadis al-wahibah nafsa-ha. Dalam hadis ini, seorang perempuan datang berjumpa Nabi SAW yang ketika itu sedang bersama sahabat-sahabat yang lain dan menawarkan dirinya kepada baginda.
Rasulullah SAW sekadar menenung tanpa membuat apa-apa keputusan. Perempuan itu pun duduk. Seorang sahabat berminat untuk mengahwini perempuan tersebut. Katanya, "Kalau Rasulullah tidak menginginkannya, maka kahwinkan saya dengan dia."
Tidak jelas sama ada wanita tersebut mendedahkan muka atau tidak, namun hadis ini dijadikan dalil bahawa niqab tidak wajib kerana zahirnya perempuan tersebut sedang memperlihatkan rupanya. Yang mengatakan niqab wajib pula menjawab, ini situasi khitbah, dan khitbah dibenarkan memperlihatkan muka.
Begitu juga dengan beberapa hadis lain, seperti hadis al-Fadl b. 'Abbas RA yang dijadikan dalil niqab tidak wajib. Jawapan pihak yang mewajibkan antara lain adalah bahawa perempuan sedang menawarkan dirinya. Jadi, kesimpulannya tidak salah memperlihatkan kecantikan kepada lelaki jika dengan niat untuk menarik perhatian seterusnya dikahwini.
Cuma, ada syarat dan batas yang perlu dijaga. Mazhab Maliki, misalnya, melarang lelaki melihat perempuan dengan niat khitbah jika kemungkinan lamaran diterima adalah rendah. Jadi, sesiapa yang ingin menggunakan "story", mohon patuhi syarat-syarat berikut:
- "Story" dihadkan kepada lelaki yang diinginkan sahaja supaya tidak dilihat oleh lelaki lain yang tidak berkenaan. (Hadis al-wahibah nafsa-ha tadi, tiada isu ada sahabat lain bersama, kerana itu perlu untuk mengelakkan khalwat).
- Lelaki tersebut zahirnya thiqah dan warak, kerana dikhuatiri ia sekadar mencuci mata dan menyebarkan gambar tersebut kepada lelaki lain
- Tiada apa-apa yang menunjukkan lelaki tersebut kemungkinan besarnya akan menolak pinangan tersebut seperti perbezaan jarak dan usia yang jauh
- Tiada niat selain untuk berkahwin, bukan sekadar untuk membuat lelaki berkenaan tertarik dan terpesona kemudian terpinga-pinga ditinggalkan
- Beri "hint" bahawa sedang melamar, bukan sekadar menayang diri. (Mungkin ditunjukkan gambar tidak berniqab oleh seorang yang tidak pernah menayang gambar atau berniqab di luar sudah cukup menjadi "hint"? Wallahualam).
Walau bagaimanapun, saya tidak menggalakkan cara ini kerana perempuan selalu ambil mudah soal aurat, gambar, dan niqab. Sekarang, gambar berniqab dan gambar "freehair" boleh dijumpa dalam satu profil. Model tudung sekejap berniqab sekejap tidak.
Yang sudah menjadi isteri orang pun masih galak menayang diri. (Entah untuk apa, dan untuk siapa?) Yang berniqab pun gemar memuat naik gambar rakan-rakan yang tidak berniqab, malah gambar seksi orang lain. Allah al-musta'an.
Saya cuma menjelaskannya sebagai salah satu ikhtiar dan solusi bagi niqabis (atau yang istiqamah tidak menayang gambar di media sosial) yang secara hukumnya adalah harus dengan mengemukakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak diingini.
Wallahualam.


Comments
Post a Comment