Amalan Tahun Baru Bangsa dan Agama Lain?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Malam tadi saya menemui dua perkara yang mengecewakan: satu kesesatan dan satu kesalahan. Kesesatan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan manakala kesalahan oleh seorang yang cuba menjawab kesesatan tersebut, tetapi dengan jawapan yang salah.

Tentang yang pertama, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mewahamkan kepada para pembaca bahawa salaf juga meraikan awal tahun bangsa dan agama lain berdalilkan athar tabiin, Zubayd al-Yāmī, padahal itu hanyalah athar tabiin kecil, bukan hadis. Hadis sahih jelas memansuhkan perayaan Arab jahiliah dan menggantikannya dengan Aidiladha dan Aidilfitri. Perbuatan sahabat besar pun tidak boleh dijadikan hujah kalau berlawanan dengan hadis, apalagi tabiin kecil. Ini maklum dalam ilmu usul fiqh.

Kalau athar yang kononnya akan menjadi hujah terhebat mereka untuk mendebat Salafiyyah dan golongan yang sependapat dengan mereka ini boleh dijadikan dalil, maka bukan awal tahun bangsa atau agama lain sahaja yang boleh diraikan, kerana Mahrajan bukan sambutan tahun baharu, tetapi perayaan agama Majusi. Ini bermakna Thaipusam, Deepavali, Hari Wesak, dan Bon Odori juga boleh diraikan, setidak-tidaknya dengan iktikaf di masjid. Tapi, mereka takut-takut untuk mengatakannya secara jelas atau mereka tidak tahu apa yang mereka salin? Oleh itu, di poster itu sekadar dinyatakan "Amalan Para Salaf pada Malam Tahun Baru Bangsa dan Agama Lain".

Tentang yang kedua, seorang ikhwah cuba menjawab kesesatan tersebut tapi dengan melemahkan athar berkenaan dengan hujah bahawa mustahil Ziyād b. al-Sakan, seorang sahabat yang syahid dalam perang Uhud meriwayatkan tentang Zubayd al-Yāmī, tabiin yang meninggal pada 122 H. Maaf, terima kasih kerana mencuba tapi ini kesilapan yang fatal. Ziyād b. al-Sakan bukan sahabat, tetapi tabiin. Berlaku taṣḥīf pada sanad, kerana nama sebenarnya ialah Ziyād Abū al-Sakan, bukan Ziyād b. al-Sakan.

Ibnu Ḥibbān memasukkannya dalam al-Thiqāt tapi ini tidak memberikan sebarang kelebihan kerana tawthīq beliau secara bersendirian tidak diterima, apatah pula ketika bercanggah dengan jarḥ oleh ulama lain iaitu Yaḥyā b. Ma‘īn dan al-Nasā’ī yang masing-masingnya mengatakan beliau “laysa bi-shay’” dan “tidak thiqah”. Jadi, riwayat ini lemah dari sudut sanad dan munkar dari sudut matan. Riwayat sebegini tidak boleh dijadikan hujah sama sekali.

Saya mohon Jabatan Mufti Negeri Sembilan menarik semula poster yang tidak bertanggungjawab itu kerana saya bimbang, disebabkan kecuaian kalian dan kejahilan mereka yang bersorak bersetuju dengan kalian, kelak kita akan melihat umat Islam melakukan qiamullail, bacaan Yasin, atau iktikaf di masjid beramai-ramai sempena Tahun Baru Cina, misalnya, nanti kononnya itu sebahagian amalan salaf.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments