'Birthday' Dalam Islam

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sambutan hari kelahiran adalah amalan yang jelek. Disebabkan tidak mengucapkan “Selamat hari lahir”, ibu bapa terasa hati, menganggap anak-anak sudah melupakan mereka. Suami pula dituduh tidak sayang atau mengabaikan isteri kerana lupa tarikh hari lahir. Anak-anak berasa cemburu kerana sepupu-sepupu dan kawan-kawan mendapat hadiah sempena ulang tahun kelahiran mereka. Ada orang sedih kerana terpaksa menyambut hari lahir bersendirian di kedai makan.

Sambutan hari lahir pula biasanya dibuat dalam bentuk jamuan atau parti. Kalau tidak keluarga, kawan-kawan yang berpakat mengadakan kejutan atau “prank” sempena hari jadi. Buat-buat lupa, rupa-rupanya mereka bersembunyi di dalam bilik untuk meraikan hari jadi. Kek dipacakkan lilin dengan bilangan tertentu, yang ditiup selepas lagu “Selamat hari jadi” atau versi Islamiknya, “Allah selamatkan kamu” dinyanyikan. Lebih meriah kalau belon diletupkan memercikkan benda-benda halus menyepahkan ruangan atau telur dan tepung dibaling-baling tanda kemesraan tidak berbelah bahagi. Saat-saat itu dirakam, kemudian disiarkan kepada umum, untuk memberitahu dunia, betapa bahagianya kami!


Apakah semua ini?!

Sambutan hari lahir tiada dalam Islam dan bukan adat Melayu yang asli. Kalau dianggap sebagai adat semata-mata sekalipun, adat boleh diterima dan ditolak. Lagipun, adat ini berasal daripada kafir dan tasyabbuhnya masih jelas. Ramai agamawan menyambut hari lahir kerana bertepatan dengan pendirian mereka dalam masalah khilafiyyah, iaitu hukum menyambut maulid Nabi SAW. Jika semua orang menyambut hari lahir, mereka boleh mengeluarkan hujah dangkal, “Hari jadi sendiri sambut, hari lahir Nabi bidaah!”

Maka, berbondong-bondonglah ahli agama menyambut hari lahir, sampai terlihat seolah-olah adat ini berasal daripada Islam, walhal ulama-ulama silam yang menyambut maulid Nabi SAW pun tidak menyambut hari lahir sendiri. (Ramai ulama yang tidak tahu atau tidak diketahui tarikh kelahiran mereka, apalagi menyambutnya!) Kini, pemandangan yang tidak manis dipandang pada beberapa masa dahulu, orang Islam menyambut hari lahir dengan lilin dan kek, dilihat dilakukan oleh orang yang bergelar ulama sendiri. 

Evolusi ini tidak terhenti di situ. Sekarang pun kita sudah boleh melihat perkembangan majlis-majlis yang dikaitkan dengan agama. Ada majlis zikir dan selawat menari, berjoget, dan bercampur lelaki-perempuan. Ada yang dibuat dalam masjid dan di kuburan. Ada yang dengan alat muzik dan nyanyian wanita. Ada perarakan lelaki perempuan membawa replika-replika yang entah apa-apa, dengan masing-masingnya perasan melakukan kebaikan, terpaling sayang Nabi, terpaling sayang agama. Ini zaman kita, esok-esok, bagaimana?

Akhirulkalam, buat ahli-ahli agama yang terlibat dengan sambutan hari lahir dan yang diam mengiakan ucapan “sanah helwah” yang ditujukan kepada mereka, di sini saya memperingatkan: Kalian boleh menipu semua orang dalam satu-satu masa, atau menipu sesetengah orang dalam setiap masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa. Akan terus ada golongan yang memperjuangkan kebenaran dan mengingkari kebatilan.

Serius, saya penat melayan isu-isu yang timbul akibat kesungguhan kalian mempertahankan amalan menyambut kelahiran yang diada-adakan ini. Cukuplah


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments