Bulan Rejab

 OLEH: Dr Idris Sulaiman

Tidak sabit mana-mana hadis tentang kelebihan bulan Rejab secara amnya atau fadilat mana-mana ibadah secara khusus pada bulan ini.

Maka tidak disyariatkan mengucapkan tahniah sempena kedatangannya, berpuasa atau pun membaca doa-doa tertentu.

Adapun doa:

اللَّهُمَّ باَرِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَان وَبَلِّغْنَا رَمَضَان.

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami bertemu dengan bulan Ramadan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Naim dan al-Bazzar di mana salah seorang perawinya iaitu Zaidah bin Abi al-Raqqad adalah ‘mungkar’ dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah seperti mana menurut Imam Bukhari dan yang lain.

Dalam sanadnya juga terdapat Zayyad bin Abdullah al-Numari yang merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah sebagaimana menurut Yahya bin Main, Abu Hatim dan yang lain.

Justeru hadisnya daif dan tidak sabit daripada Nabi ﷺ sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Nawawi, al-Zahabi, Ibnu Hajar, Ahmad Syakir, al-Albani dan yang lain.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar:

لَمْ يَرِدْ فِي ‌فَضْلِ ‌شَهْرِ ‌رَجَبْ، وَلا صِيَامُهُ، وَلا فِي صِيَامِ شَيْءٍ مِنْهُ مُعَيَّنٍ، وَلا فِي قِيَامِ لَيْلَة مَخْصُوصَةٍ فِيهِ حَدِيثٍ صَحِيحٍ.

“Tidak warid mana-mana hadis sahih tentang fadilat bulan Rejab, berpuasa seluruhnya atau pada hari-hari tertentu, ataupun melakukan qiamullail pada malam-malam tertentu pada bulan ini.”


Kata al-Hafiz Ibnu Rajab:

وَأَمَّا الصِّيَامُ فَلَمْ يَصِحُّ فِي ‌فَضْلِ ‌صَوْمِ ‌رَجَب بِخُصُوصِهِ شَيْءٌ عَنْ النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا عَنْ أصْحَابِهِ.

“Adapun puasa, tidak sabit apa-apa daripada Nabi ﷺ atau para Sahabat tentang kelebihan berpuasa pada bulan Rejab.”

Pentingnya berilmu sebelum beramal.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments