Niqab : Suatu perbahasan dan kritikan



OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kesilapan golongan yang menolak kewajipan niqab ialah menganggap aurat ketika solat dan bersama ajnabi adalah sama. Oleh itu, kerana muka boleh didedahkan semasa solat, maka muka juga boleh didedahkan ketika bersama ajnabi.

Kesilapan yang sama juga dilakukan oleh golongan yang mewajibkan niqab. Mereka menganggap aurat yang haram dilihat adalah haram didedahkan. Disebabkan muka tidak boleh dilihat oleh ajnabi kecuali kerana hajat atau aman daripada fitnah, maka muka wajib ditutup selagi tiada maslahat atau dikhuatiri berlaku fitnah.
Kedua-dua kesilapan ini boleh dikatakan dilakukan oleh semua pengkaji dalam bidang ini. Hakikatnya, tidak ada talazum (kesinambungan) antara aurat solat, aurat dengan ajnabi, dan aurat yang haram dilihat. Aurat itu sendiri istilah umum yang memberi pelbagai tafsiran. Sebab itu, ada ulama yang mengatakan muka tidak aurat tetapi wajib ditutup. Ada ulama yang mengatakan muka aurat bagi ajnabi tetapi tidak wajib ditutup.
Saya tertarik menyebut hal ini selepas membaca kritikan Ahmad Salim dan 'Amr Bayruni ke atas kitab al-Hijab fi al-Shar' wa-al-Fitrah oleh Syeikh al-Tarifi. Dalam hal ini, Syeikh al-Tarifi menyamakan aurat yang wajib ditutup dengan aurat yang haram didedahkan. Ahmad Salim dan 'Amr Basyuni (penulis buku Ma Ba'da al-Salafiyyah) pula menyamakan aurat di dalam solat dan luar solat serta menisbahkannya kepada jumhur ulama dengan alasan ulama berdalilkan ayat 31, surah al-Nur yang di luar konteks solat untuk mengatakan muka bukan aurat dalam solat walhal ulama-ulama yang mewajibkan niqab juga menerima tafsiran "perhiasan zahir" dengan muka dan tapak tangan tetapi mereka tetap mewajibkan menutup muka ketika bersama ajnabi.
Mereka juga mendakwa orang pertama dalam mazhab Shafi'i yang membezakan antara aurat solat dan aurat bersama ajnabi adalah Khatib al-Sharbini. Kesilapan ini menunjukkan mereka gagal menemukan nas-nas ulama Shafi'iyyah sebelum Khatib al-Sharbini yang menyebutkan secara jelas kewajipan menutup muka walaupun tulisan mereka nampak ilmiah dan lebih terperinci.

Comments