OLEH : Dr Idris Sulaiman
Antara hadis masyhur tentang bulan Ramadan ialah riwayat:
“(Ramadan) ialah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan daripada api neraka."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lain.
Hadis ini dinilai daif atas tiga sebab:
1. Sanadnya terputus kerana salah seorang perawinya Saeed bin al-Musayyib tidak mendengar daripada Salman al-Farisi radiallahuanhu;
2. Salah seorang perawinya ialah Ali bin Zaid bin Jad’aan dan Yusuf bin Ziyad.
Ali bin Zaid didaifkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Ma’in, al-Nasaie dan Ibnu Khuzaimah sendiri.
Yusuf bin Ziyad pula dihukum sebagai perawi yang hadisnya mungkar oleh Imam al-Bukhari dan Abu Hatim sehinggakan Imam al-Daraqutni berkata “Beliau terkenal dengan riwayat-riwayat batil.”
Tambahan pula, inti maksud hadis ini yang membahagikan bulan Ramadan kepada tiga; 10 hari pertama dengan rahmat, 10 hari berikutnya dengan keampunan dan 10 hari terakhir dengan pelepasan daripada api neraka tidak sabit dalam mana-mana dalil sahih.
Sedangkan rahmat Allah ﷻ itu luas dan seluruh bulan Ramadan penuh dengan rahmat dan pengampunan sebagaimana sabit daripada Nabi ﷺ sabdanya:
إِنَّ لِلَّهِ عِنْدَ كُلِّ فِطْرٍ عُتَقَاءَ وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ.
“Sesungguhnya bagi Allah setiap kali waktu berbuka orang-orang yang dibebaskan dari Api Neraka, dan hal tersebut ialah pada setiap malam (Ramadan).”
[Sahih. Riwayat Ibnu Majah]
Pentingnya berwaspada daripada riwayat-riwayat lemah yang tidak sabit daripada Nabi ﷺ di samping memastikan kesahihan sesebuah hadis sebelum disebarkan.
Allah jua pemberi taufik.
Comments
Post a Comment