Allah Mengangkat Darjat Seseorang Melalui Ilmu

OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Sesiapa yang merasakan dirinya mempunyai kekurangan fizikal yang menyebabkan dirinya diejek dan ditertawakan, hendaklah dia berusaha semampunya untuk menuntut ilmu.

Dahulu ada seorang ulama bernama Muhammad bin ‘Abdul Rahmān Al-Awqas. Kata Abū Ishāq dalam menceritakan fizikal Al-Awqas ini :
عُنُقُهُ دَاخِلًا فِي بدنه، وَكَانَ منكباه خَارِجَيْنِ
Terjemahan : Tengkuknya berada di dalam badannya, manakala dua bahunya pula terkeluar.
Suatu hari, ibunya berkata kepadanya :
يا بُنَيَّ لَا تَكُونُ فِي قَوْمٍ إِلَّا كُنْتَ الْمَضْحُوكَ مِنْهُ الْمَسْخُورَ بِهِ، فَعَلَيْكَ بِطَلَبِ الْعِلْمِ، فَإِنَّهُ يَرْفَعُكَ
Terjemahan : “Wahai anakku, tidaklah kamu berada di hadapan orang ramai melainkan kamu akan diketawakan serta diejek. Oleh itu, hendaklah kamu menuntut ilmu kerana ia akan mengangkat kedudukan kamu”.
Lalu beliau pun menuntut ilmu. Beliau akhirnya menjadi seorang hakim di Mekah selama 20 tahun.
Muhammad bin Al-Qāsim bin Al-Khallād berkata : “Al-Awqas ini seorang yang pendek, hodoh, lagi buruk. Beliau pernah berkata :
فَقَالَتْ لِي أُمِّي وَكَانَتْ عَاقِلَةً: يَا بُنَيَّ إِنَّكَ خُلِقْتَ خِلْقَةً، لَا تَصْلُحُ مَعَهَا لِمُعَاشَرَةِ الْفِتْيَانِ، فَعَلَيْكَ بِالدِّينِ، فَإِنَّهُ يُتِمُّ النَّقِيصَةَ، وَيَرْفَعُ الْخَسِيسَةَ، فَنَفَعَنِي اللَّهُ بِقَوْلِهَا، فَتَعَلَّمْتُ الْفِقْهَ، فَصِرْتُ قَاضِيًا
Terjemahan : Ibuku pernah berkata kepadaku, dan beliau seorang wanita yang cerdik :
“Wahai anakku, kamu dilahirkan dengan fizikal yang tidak sesuai untuk kamu bergaul dengan anak-anak muda yang sebaya denganmu. Oleh itu hendaklah kamu mempelajari agama. Ini kerana ia akan menyempurnakan segala kekurangan serta mengangkat segala kehinaan”.
Allah SWT memberi manfaat kepadaku menerusi kata-kata ibuku, lalu aku pun mempelajari ilmu fiqh dan kemudiannya menjadi seorang qādi (hakim).
Rujuk Al-Faqīh wal-Mutafaqqih, Al-Khatīb Al-Baghdādi (1/140-141)
Kisah beliau ini mengingatkan saya kepada firman Allah SWT :
‎يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Terjemahan : Nescaya Allah mengangkat kedudukan orang yang beriman dari kalangan kamu dan mereka yang diberikan ilmu sebanyak beberapa darjat.
Surah Al-Mujādilah (11)
Lama dahulu saya pernah berbual dengan sahabat saya Ustaz Mushfique Ayoup حفظه الله. Saya kata, ada dua perkara yang Allah SWT akan mengangkat kedudukan seseorang itu dengannya berdalilkan ayat di atas iaitu :
- Beriman.
- Berilmu.
Kemudian beliau kata, ada satu lagi iaitu Al-Quran.
Ini berdalilkan sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW :
إنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بهذا الكِتَابِ أَقْوَامًا، وَيَضَعُ به آخَرِينَ
Terjemahan : Sesungguhnya Allah SWT mengangkat kedudukan sesuatu kaum dengan kitab ini (Al-Quran), dan merendahkan kedudukan sesuatu kaum dengannya.
Riwayat Muslim (817)
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli

Comments