Zuhur Dan Asar Hari Rabu : Antara Waktu Dimustajabkan Doa


OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Salah satu waktu yang diharapkan padanya kemustajaban doa adalah di antara Zuhur dan Asar pada hari Rabu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jābir bin ‘Abdillāh رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Nabi SAW berdoa di Masjid Al-Fath selama tiga hari iaitu pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu.
Kemudian kata Jābir :
‎فَاسْتُجِيبَ لَهُ يَوْمَ الأربعاء بَيْنَ الصّلاتَيْنِ
‎فَعُرِفَ الْبِشْرُ فِي وَجْهِهِ
Terjemahan : Lalu dimustajabkan doa Baginda pada hari Rabu di antara dua solat (Zuhur dan Asar), dan dapat dilihat kegembiraan pada wajah Baginda.
Setelah itu Jābir رضي الله عنه berkata :
‎فَلَمْ يَنْزِلْ بِي أَمْرٌ مُهِمٌّ غَلِيظٌ إِلا‏ ‏تَوَخَّيْتُ ‏تِلْكَ السَّاعَةَ فَأَدْعُو فِيهَا فَأَعْرِفُ الإجابة
Terjemahan : Tidaklah berlaku kepada diriku suatu perkara yang sulit lagi berat, melainkan aku akan mencari waktu tersebut dan aku berdoa padanya, lalu aku mendapati yang ia dimustajabkan.
Riwayat Al-Bukhāri dalam Al-Adab Al-Mufrad (704), Ahmad (14563), dan Al-Baihaqi dalam Al-Syu’ab (3591).
Al-Imām Al-Baihaqi رحمه الله berkata :
ويتحرى للدعاءِ الأوقات والأحوال والمواطن التي يرجى فها الإجابةُ تماما
Terjemahan : Dan hendaklah seseorang itu mencari waktu-waktu, keadaan-keadaan, dan tempat-tempat tertentu yang diharapkan kemustajaban doa yang lengkap padanya.
Kemudian beliau menyambung :
‎فأما الأوقاتُ فمنها ما بين الظهر والعصر من يومِ الأربعاء
Terjemahan : Adapun waktu-waktu (yang diharapkan kemustajaban doa padanya), antaranya adalah di antara Zuhur dengan Asar pada hari Rabu.
Rujuk Syu’ab Al-Imān, Abū Bakr Al-Baihaqi (2/375).
Berikut merupakan beberapa pendapat para ulama Hanābilah berkenaan isu ini :
1- Al-Imām ‘Abdul Ghani Al-Maqdisi رحمه الله memasukkan hadis Jābir di atas di dalam kitabnya yang bertajuk Al-Targhīb fil Du’ā wal-Hass ‘Alayh (1/87) pada bab : “Waktu-waktu yang dilakukan doa padanya”.
2- Al-Imām ‘Imāduddīn Al-Maqdisi رحمه الله (adik kepada ‘Abdul Ghani Al-Maqdisi) turut mengamalkan berdoa di antara Zuhur dan Asar pada hari Rabu, dan beliau berkata :
مَا رَأَيْتُ مِثْلَ هَذَا الدُّعَاءِ، أَوْ أَسْرَعَ إِجَابَةً مِنْهُ
Terjemahan : Aku tidak pernah melihat doa seumpama ini, atau (doa) yang lebih segera kemustajaban berbandingnya.
Dengan perkongsian doa berikut :
يَا أَللهُ يَا أَللهُ، أَنْتَ اللهُ، بَلَى وَاللهِ، أَنْتَ اللهُ، لَا إِلهَ إِلَّا أَنْتَ، اللهُ اللهُ اللهُ، وَاللهِ إِنَّهُ لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ.
Rujuk Zail Tabaqāt Al-Hanābilah, Ibnu Rajab Al-Hanbali (3/207)
3- Al-‘Allāmah ‘Abd Al-Rahmān bin Qāsim berkata :
‎أنه يوم تجاب فيه الدعوات، وتقضى فيه الحاجات
Terjemahan : Sesungguhnya ia (hari Rabu) merupakan hari yang dimustajabkan padanya doa-doa, dan ditunaikan padanya segala hajat.
Rujuk Al-Durar Al-Saniyyah fi Al-Ajwibah Al-Najdiyyah (10/344)

Comments