Membanteras New Age Movement Dari Akarnya


OLEH : Ustaz Huzaifah Hadis

Semua sibuk membincangkan tentang satu acara tertentu kerana ia mengandungi unsur #####.
Tapi, cuba bayangkan kalau acara itu hanya mengandungi unsur ajaran New Age yang lain, adakah ia akan tular juga?
Hakikatnya, kepercayaan seperti b###l, 'manifestasi', 'healing', dan 'self-energy' turut berpunca daripada pengaruh ajaran New Age, satu bentuk ajaran moden yang telah lama menyusup masuk ke dalam dunia pembangunan diri dan motivasi.
2. Penyusupan Ajaran New Age Secara Halus
Ajaran ini telah dibongkar oleh para ilmuwan Islam sejak sekian lama, tetapi ia tetap mendapat tempat, bahkan semakin diterima secara terbuka dalam bentuk kursus motivasi, program team building, dan latihan korporat.
Buku-buku tokoh terkenal seperti Anthony Robbins, Robin Sharma, dan Rhonda Byrne (pengarang The Secret) telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan diletakkan di rak-rak buku motivasi, pembangunan diri, dan “healing”.
Malangnya, ramai tidak sedar bahawa inti ajaran mereka berasal dari falsafah New Age, yang menolak ketuhanan Islam dan menggantikannya dengan ‘kuasa minda’, ‘getaran positif’, dan ‘alam semesta sebagai penentu takdir’.
3. Sokongan Pasaran dan Normalisasi Ajaran
Buku The Secret, walaupun telah banyak dikritik oleh ulama dan penulis Islam, masih jauh lebih laris berbanding buku-buku sanggahan seperti “Khurafaat as-Sirr” oleh Syeikh Abdullah bin Soleh al-Ujairi dan lain-lain.
Kenapa?
Kerana ajaran ini dipakejkan secara eksklusif. Ia menyasarkan golongan profesional, syarikat besar, dan kelas menengah atas. Ia dilabel sebagai “team building”, “HRDC-claimable”, dan “executive training” walaupun mengandungi ajaran batil.
Program-program ini dijalankan di hotel-hotel mewah, resort eksklusif, dan dijual dengan harga premium, menjadikannya kelihatan “berprestij” walaupun secara rohaninya ia berbahaya.
4. Ancaman kepada Akidah dan Jalan Penyelesaian
Berbeza dengan ajaran Islam yang tulen, yang mendidik jiwa tanpa pakej eksklusif, ajaran New Age semakin membarah kerana tiada penyaringan, tiada kesedaran, dan tiada pemahaman akidah yang benar.
Jika benar ingin membanteras ajaran New Age, ia tidak cukup sekadar mengecam acara tertentu yang melampau. Perlu ada pembersihan total, bermula dari akar: fahaman, tokoh, buku, program, dan institusi yang menyokong ideologi ini.
Dan penyelesaian yang paling asas dan ampuh iaitu mengembalikan umat Islam kepada kefahaman akidah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Tanpa akar yang kukuh, umat akan terus hanyut dengan ‘healing’ dan ‘getaran positif’ versi barat.
Kesimpulannya:
Kita tidak boleh selesa dengan hanya mengecam di permukaan. Perlu dibina satu generasi yang celik akidah, kritis terhadap pemikiran asing, dan bijak menilai antara kebenaran dan kosmetik spiritual yang menipu.

"Akar yang sihat akan menghasilkan buah yang sihat. Tapi jika akar pun sudah busuk, jangan hairan kalau buahnya membawa racun." 

Comments