OLEH : Ustaz Huzaifah Hadis
Kezaliman tidak boleh dibalas dengan kezaliman. Kezaliman menaikkan cukai, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa tidak boleh dibalas dengan mencuri, merompak, merusuh, berkata nista, bercakap bohong, merosakkan harta benda awam dan sebagainya.
Ia ibarat membasuh najis dengan najis yang baru.
Najis yang lama ditambah pula dengan bau najis yang baru.
Jadi bagaimana ingin menghapus kezaliman?
Sebab itu negara yang pemimpinnya zalim tetapi rakyatnya bertindak zalim terhadap pemimpin, bukan bertukar menjadi pemimpin yang adil sesudahnya.
Bukti sudah di lihat di negara Libya, Yaman, Syria, Iraq dan seumpamanya.
Negara mereka daripada negara aman sekalipun pemimpin yang di perintah itu zalim berakhir kepada kehancuran negara tersebut.
Keamanan yang dinikmati waktu diperintah pemimpin yang zalim seperti zaman Saddam, Muammar Gaddafi, Bashar Asad, Ali Salleh hilang dgn akibat pemberontakan daripada rakyat.
Sekurang-kurangnya sewaktu begitu zalim pemimpin diatas, hartanah mereka masih ada nilai. Tetapi bila pemimpin zalim ini dilawan, keamanan tiada, pencurian berleluasa, polis sudah tidak boleh mengawal keamanan, negara menjadi porak poranda.
Siapa yang untung?
Bukan rakyat marhaen.
Tetapi golongan elit dan kapitalis korporat yang selama ini cukai disumbangkan ke dalam negara, kini mereka paling berkuasa. Begitu juga anasir asing yang memang sedia mengaut laba hasil ketidak amanan negara tersebut.
Rakyat memikir jangka masa pendek. Mereka sangka mereka boleh mendapat apa yang mereka mahukan bila mereka merusuh dsb.
Tetapi pemimpin sekalipun zalim, mereka tetap menjaga nilai negara mereka. Bila mereka tiada, anasir asing yang selama ini mengidamkan hasil mahsul negara tersebut yang akan masuk dan campur tangan.
Rakyat?
Adakah selama ini anasir asing memikirkan rakyat?
Adakah zaman penjajahan, mereka yang menjajah memikirkan rakyat?
Ya, tidak syak lagi, rakyat hanya merupakan bidak-bidak catur untuk dikorbankan bagi kepentingan mereka.
Tetapi percayalah, saat fitnah melanda, emosi menguasai jiwa, rakyat lebih tertumpu dengan penyelesaian segera tanpa mahu berfikir untuk jangka masa yang panjang apatah lagi bagi kelangsungan hidup generasi akan datang.
Apa yang mereka fikir, vvip harus dihukum, harta mereka harus dijarah kerana ianya hasil titik peluh rakyat. Mereka tidak akan mampu berfikir sekurang-kurangnya nasib 5 tahun akan datang buat negara mereka.
Mereka tidak mampu berfikir, pelabur yang takut untuk melabur ke dlm negara, matawang yg jatuh seterusnya mengakibatkan nilai harta mereka pun turut jatuh dan kehidupan bertambah buruk.
Jadi, apa yang sepatutnya rakyat lakukan?
Lakukan mengikut undang-undang dan ilmu.
Buat dengan berfikir secara rasional bukan emosional.
Fikir untuk jangka masa panjang dan generasi akan datang.
Bersatu dlm satu wadah alternatif bagi mendesak pemimpin mengikut jalan yang sebenar.
Sabar dan bersatu padu dlm satu suara.
Sebab itulah kaedah para salafussoleh ialah dengar dan taat dan tidak keluar memberontak terhadap pemimpin yang dilantik. Taat hanya pada apa yang baik. Apa yang berdosa tidak wajib taat apatah lagi menyokong kezaliman.
Kesimpulannya, kezaliman tidak akan terhapus dengan kezaliman.
Kezaliman pemerintah tidak boleh dihapuskan dengan kezaliman rakyat, kerana akhirnya yang hancur bukan hanya pemimpin, tetapi negara itu sendiri.
Sejarah telah membuktikan bahawa apabila rakyat bangkit dengan cara salah, mereka tidak meraih keadilan, sebaliknya mewarisi kehancuran yang lebih dahsyat.
Maka jalan yang benar ialah:
Bertindak dengan undang-undang, ilmu dan kesedaran, bukan emosi.
Berfikir untuk jangka panjang dan generasi akan datang, bukan hanya kepuasan segera.
Bersatu di bawah wadah yang sah dan tersusun, bukan dengan rusuhan dan kerosakan.
Taat kepada pemimpin dalam perkara makruf, tetapi tidak menyokong kezaliman.
Inilah manhaj para salafussoleh. Mereka mengajar bahawa selagi pemimpin menunaikan solat dan tidak menzahirkan kekufuran yang nyata, maka kewajipan rakyat ialah bersabar, menasihati, dan memperbaiki keadaan dengan cara yang dibenarkan syarak.
Kerana adil hanya boleh ditegakkan dengan keadilan, bukan dengan kezaliman yang baru.
Photo by Koshu Kunii on Unsplash
Comments
Post a Comment