OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ibnu ‘Arabī (m. 638 H) adalah penjenayah besar dalam keilmuan Islam. Hampir tidak ada bidang ilmu yang tidak dirosakkannya. Dalam bidang hadis, dia mereka-reka kaedah yang membantu dajjal-dajjal mencipta hadis palsu, iaitu bahawa kasyaf adalah hujah dalam ilmu hadis.
ونُصَحِّح من هذا الطريق أحاديث النبي، فرُبَّ حديث صحيح عن أهل الفن لا يثبت عندنا من هذا الطريق، ورب موضوع عندهم يصح بقوله صلى الله عليه وسلم هذا حديث قلته.
“Kami mensahihkan menerusi cara ini (kasyaf) hadis-hadis Nabi. Jadi, kadang-kadang sebuah hadis hadis di sisi ahl al-fann (ahli hadis) tidak sabit di sisi kita melalui cara ini. Dan kadang-kadang hadis palsu di sisi mereka sahih dengan kata baginda SAW, ‘Hadis ini aku pernah ucapkan’.”
Jelas, hadis sahih di sisi ahli hadis tidak semestinya sahih, malah boleh menjadi syaz, munkar, atau palsu di sisi sufi. Hadis palsu pula boleh menjadi sahih di sisi mereka, setaraf dengan hadis al-Bukhārī dan Muslim, atau lebih tinggi. Dengan itu, sanad yang diburu oleh pengikut-pengikut kecil mereka dalam serentetan majlis samā‘ itu tiada nilai dan guna selain menebalkan fail sijil!
Lebih menakutkan, hasil persemendaan neo-Ashā’irah dengan aliran sufi Ibnu ‘Arabī, kaedah sesat ini menyusup masuk ke dalam kitab-kitab akidah yang menjadi pegangan “majoriti umat Islam”, seperti Tuḥfah al-Murīd Sharḥ Jawharah al-Tawḥīd oleh al-Bayjūrī (m. 1860 H). Dalam h. 69-70 buku itu, beliau menukilkan hadis yang kononnya diriwayatkan daripada ‘Ā’ishah RA “bahawa Rasulullah SAW meminta supaya Tuhannya menghidupkan ibu bapanya. Maka, Allah menghidupkan mereka dan mereka pun beriman dengan baginda. Kemudian, Allah mematikan mereka berdua.” Selepas membawa tiga baris syair, beliau menyebut:
ولعل هذا الحديث صح عند أهل الحقيقة بطريق الكشف، كما أشار إليه بعضهم بقوله:...
“Harap-harap hadis ini sahih di sisi ahli hakikat melalui jalan kasyaf, sebagaimana yang diisyaratkan oleh sebahagian ahli hakikat dengan syairnya:..."
Juga kerana terpengaruh dengan sufi dan terpedaya dengan Ibnu ‘Arabī, ada sebilangan ulama hadis menerima dan memperakukan kaedah ini. Antaranya, al-‘Ajlūnī (m. 1162) yang ditempelak oleh Syeikh ‘Abd al-Fattāḥ Abū Ghuddah al-Kawtharī dengan katanya:
ولا يكاد ينقضي عجبي من صنيعه هذا وهو المحدث الذي شرح صحيح البخاري، كيف استساغ قبول هذا الكلام الذي تهدر به علوم المحدثين، وقواعد الحديث والدين؟ ويصبح به أمر التصحيح والتضعيف من علماء الحديث شيئاً لا معنى له بالنسبة إلى من يقول: إنه مكاشَف أو يَرى نفسه أنه مكاشَف! ومتى كان لثبوت السنة المطهرة مصدران: النقل الصحيح من المحدثين والكشف من المكاشفين؟!
“Kehairananku hampir-hampir tidak akan berhenti dengan perbuatannya ini, padahal beliau ahli hadis yang mensyarah Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Bagaimana mungkin beliau menerima kata-kata (Ibnu ‘Arabī) ini yang memusnahkan ilmu ahli hadis serta kaedah hadis dan agama, dan menjadikan urusan mensahihkan dan menḍa‘īfkan yang dilakukan oleh ulama hadis tidak mempunyai makna bagi orang yang mendakwa ia kasyaf atau beranggapan dirinya mempunyai kasyaf. Sejak bila sabitnya sunnah yang suci ada dua sumber: riwayat sahih daripada ahli hadis dan kasyaf daripada orang kasyaf?!”
Beliau menyudahkan kalamnya dengan katanya:
فحذارِ أن تغتر بهذا، والله يتولاك ويرعاك.
“Maka hati-hati jangan terpedaya dengan ini. Semoga Allah menjaga dan memeliharamu.”
Demikian juga kita mengingatkan umat Islam di Malaysia, jangan terpedaya dengan siri majlis samā‘ kitab-kitab hadis oleh ghulat sufi berbulu muḥaddithīn.
Photo by Masjid MABA on Unsplash

Comments
Post a Comment