Manusia Disembunyikan Jin

 



Didapati ramai juga yang mempertikaikan cerita-cerita manusia disembunyikan jin. Pada hakikatnya, kes-kes manusia disembunyikan jin masyhur sejak zaman salaf lagi. Yang paling terkenal ialah kisah seorang Anṣārĭ diculik selama empat tahun oleh jin pada zaman ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA. Al-Dāraquṭnĭ meriwayatkan daripada Abū ‘Uthmān al-Nahdĭ, katanya:

أَتَتِ امْرَأَةٌ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، قَالَتِ: ‌اسْتَهْوَتِ ‌الْجِنُّ زَوْجَهَا، فَأَمَرَهَا أَنْ تَتَرَبَّصَ أَرْبَعَ سِنِينَ ثُمَّ أَمَرَ وَلَّيَّ الَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الْجِنُّ أَنْ يُطَلِّقَهَا، ثُمَّ أَمَرَهَا أَنْ تَعْتَدَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا.

“Seorang perempuan berjumpa ‘Umar b. al-Khaṭṭāb. Katanya, jin telah menyesatkan suaminya. Beliau pun menyuruh perempuan itu menunggu selama empat tahun. Kemudian, beliau menyuruh wali kepada lelaki yang disesatkan oleh jin itu untuk menceraikannya. Kemudian, beliau menyuruhnya beriddah selama empat bulan 10 hari.”

Sanadnya sahih.

Sa‘īd b. Manṣūr pula meriwayatkan kisah ini dengan lebih panjang dan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abī Laylā yang sempat dengan zaman ‘Umar ketika masih kanak-kanak:

أَنَّ رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ خَرَجَ لَيْلًا ‌فَانْتَسَفَتْهُ ‌الْجِنُّ، فَطَالَتْ غَيْبَتُهُ، فَأَتَتِ امْرَأَتُهُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، فَقَالَتْ: إِنَّ زَوْجَهَا قَدْ غَابَ عَنْهَا فَطَالَتْ غَيْبَتُهُ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَعْتَدَّ أَرْبَعَ سِنِينَ، فَفَعَلَتْ ثُمَّ أَتَتْهُ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَزَوَّجَ فَفَعَلَتْ، ثُمَّ قَدِمَ زَوْجُهَا الْأَوَّلُ...

“Bahawa seorang lelaki daripada kalangan Anṣār keluar pada waktu malam lalu diculik oleh jin dan lama menghilang. Isterinya berjumpa ‘Umar b. al-Khaṭṭāb dan mengadu, ‘Suami saya telah lama hilang.’ ‘Umar lalu menyuruhnya beriddah selama empat tahun. Perempuan itu melaksanakannya kemudian menemui ‘Umar dan beliau menyuruhnya berkahwin dan dia pun berkahwin. Kemudian, suaminya yang pertama tadi pun datang…”

Kisah ini juga diriwayatkan daripada jalan lain dan dijadikan asas oleh fuqaha dalam bab suami hilang, termasuk Imam Aḥmad. Kata Abū Dāwūd:

سمعتُ أبا عبد اللَّه أحمد بن محمد بن حنبل يقول غير مرةٍ وسئل عن ‌المفقود قال: ‌المفقود عندنا أن يكون في أهله فيصبحُ وليس في أهله، وربما احتج بحديث ابن أبي ليلى أن رجلًا استهوته ‌الجن فأتت امرأته عمر رضي اللَّه عنه...   

“Aku mendengar Abū ‘Abd Allāh Aḥmad b. Muḥammad b. Ḥanbal mengatakan lebih daripada sekali, sedang beliau ditanya tentang orang hilang, katanya: ‘Orang hilang di sisi kami ialah yang tinggal bersama isterinya, tiba-tiba pada paginya tidak ada. Kadang-kadang beliau berhujah dengan hadis Ibnu Abī Laylā bahawa seorang lelaki telah disesatkan oleh jin, lalu perempuan itu menemui ‘Umar RA…”

Kata Ibnu ‘Abd al-Barr selepas menyebut athar ini, tetapi daripada riwayat Ibnu Abī al-Dunyā:

هذا خبرٌ صحيحٌ من رِوايةِ العِراقيِّينَ والمكِّيِّينَ مشهُورٌ. وقد روى مَعناهُ المدنيُّون في المفقودِ، إلّا أنَّهُم لم يذكُرُوا معنى اختِطافِ الجِنِّ للرَّجُل...

“Ini khabar yang sahih daripada riwayat rawi-rawi Iraq dan Mekah lagi masyhur. Rawi-rawi Madinah telah meriwayatkan maknanya tentang orang hilang, cuma mereka tidak menyebut berkenaan jin menculik lelaki itu…”

Terdapat hadis marfū‘ yang sahih tentang kejadian “hilang” dalam alam jin, iaitu yang berlaku kepada Rasulullah SAW sendiri dalam peristiwa “malam jin” (namun mungkin ditakwil oleh yang mengingkarinya bahawa "kehilangan" adalah semacam mukjizat yang tidak mungkin berlaku kepada orang lain). Imam Muslim meriwayatkan bahawa Ibnu Mas‘ūd RA ditanya, adakah ada sahabat yang berada dengan Rasulullah SAW pada malam jin. Jawabnya:

لَا، وَلَكِنَّا كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَفَقَدْنَاهُ ‌فَالْتَمَسْنَاهُ ‌فِي ‌الْأَوْدِيَةِ وَالشِّعَابِ، فَقُلْنَا: اسْتُطِيرَ أَوِ اغْتِيلَ!!...

“Tidak ada, akan tetapi kami bersama Rasulullah SAW pada suatu malam. Kami kehilangan baginda dan mencari-cari baginda di lembah-lembah dan di celah-celah bukit. Kata kami, 'Baginda telah diterbangkan atau dibunuh senyap-senyap!...”

Di sana terdapat hadis tentang Khurāfaḧ yang boleh disenaraikan bersama, tetapi tidak sahih, iaitu yang disebutkan dalam Musnad Aḥmad daripada ‘Ā’ishah RA, katanya:

حَدَّثَ رَسُولُ اللهِ ﷺ نِسَاءَهُ ذَاتَ لَيْلَةٍ حَدِيثًا، فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: يَا رَسُولَ اللهِ، كَانَ الْحَدِيثُ ‌حَدِيثَ ‌خُرَافَةَ؟ فَقَالَ: أَتَدْرِينَ مَا خُرَافَةُ؟ إِنَّ خُرَافَةَ كَانَ رَجُلًا مِنْ عُذْرَةَ، أَسَرَتْهُ الْجِنُّ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَمَكَثَ فِيهِنَّ دَهْرًا طَوِيلًا، ثُمَّ رَدُّوهُ إِلَى الْإِنْسِ، فَكَانَ يُحَدِّثُ النَّاسَ بِمَا رَأَى فِيهِمْ مِنَ الْأَعَاجِيبِ، فَقَالَ النَّاسُ: ‌حَدِيثُ ‌خُرَافَةَ .

“Rasulullah SAW menceritakan sebuah kisah kepada isteri-isterinya baginda pada suatu malam. Salah seorang daripada mereka pun bertanya, ‘Rasulullah, cerita ini cerita khurafat?’ Jawab baginda, ‘Kalian tahu tak apa itu khurafat? Khurāfaḧ ialah seorang lelaki daripada kaum ‘Udhraḧ yang ditawan oleh jin pada zaman jahiliah dan duduk bersama mereka untuk tempoh yang lama. Kemudian, jin-jin itu mengembalikannya kepada manusia. Dia pun menceritakan perkara-perkara ganjil yang dilihatnya bersama jin. Orang pun memanggilnya, ‘Cerita Khurāfaḧ'.'"

Tidak dinafikan bahawa kes-kes hilang di hutan tidak semestinya disebabkan jin atau dipanggil juga “orang bunyian” — yang seingat saya disebut dalam novel tahun 1937 karya Pak Sako, “Putera Gunung Tahan”, iaitu makhluk yang didengar suara, tetapi tidak dapat dilihat yang kemudiannya, mengikut agakan saya, menjadi asal kata “bunian” — tetapi menolaknya sebagai salah satu kemungkinan secara mentah-mentah kononnya kerana bertentangan dengan logik akal semata-mata adalah keterlaluan.

Wallahualam.


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Comments