Hukum asal mengebumikan jenazah ialah sunnahnya disegerakan. Hal ini sangat jelas dari dalil Sahih Bukhari,
"Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu."
Juga dari riwayat Tirmizi,
"Wahai Ali tiga perkara jangan engkau lewatkan. Solat jika ia telah masuk. Pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu."
Namun di sana ada perbincangan tentang dalam keadaan tertentu, dibenarkan untuk dilewatkan. Hanya dalam keadaan tertentu.
Hal ini sebagaimana para sahabat yang melewatkan sedikit pengebumian Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam. Malah kebiasaannya jika para sahabat meninggal di waktu malam, maka dikebumikan di siang harinya.
Bermakna ada keadaan tertentu yang boleh dilewatkan sedikit. Antaranya ketika menunggu kelengkapan pengebumian atau kalau di Malaysia, menunggu keizinan tapak kubur atau meninggu waktu yang sesuai untuk menggali kubur jika malam atau tanahnya keras memerlukan jentera jengkaut.
Namun, ada larangan untuk dilewatkan sehingga jenazahnya akan rosak (memudharatkan jenazah).
Tiada juga dari sunnah perbuatan mengawetkan jenazah agar jenazah itu boleh dipersiapkan upacara untuknya dan meletakkan jenazah di bilik bersuhu sejuk juga pasti akan tetap merosakkan sifat jenazah itu.
Pastinya ketika apa sahaja 'ceremony' yang dibuat, sungguh mayat tidak sedikitpun mendapat keuntungan dari acara-acara itu. Wallahualam.
Oleh: Taufiq Tuah
Comments
Post a Comment