Hukum Wanita Memperdengarkan Bacaan Al-Quran Kepada Lelaki

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Sahabat saya yang terpaksa bertugas di Majis Pertandingan Tilawah Peringkat Negeri yang disertai peserta wanita baru-baru ini meminta saya menulis " nasihat untuk perbuatan yang dianggap 'ibadat' ini."

Jadi, saya salin di sini tiga nas tiga orang ulama yang melarang wanita memperdengarkan bacaan al-Quran kepada lelaki atau lelaki mendengar wanita membaca al-Quran:

Pertama, Imam Abū al-‘Abbās al-Qurṭubī yang bermazhab Maliki dalam Kashf al-Qinā‘ fī Ḥukm al-Wajd wa-al-Samā‘; (1412 H); Tanta: Dār al-Ṣaḥābah; h. 65, katanya:

"Jumhur yang berpendapat harus mendengar nyanyian, mengharamkan nyanyian oleh wanita ajnabi kepada lelaki dan daripada amrad yang comel kepada lelaki dan perempuan. Tidak ada beza antara mendengar syair dan bacaan al-Quran. Inilah pendapat yang benar kerana hal ini menyebabkan aurat dilihat, merangsang syahwat, dan dibimbangi berlaku fitnah."

Kedua, Imam Ibnu Mufliḥ (884 H) yang bermazhab Hanbali dalam al-Mubdi‘ fi Sharḥ al-Muqni‘ (1418 H); Muḥammad Ḥasan al-Shāfi‘ī (ed); Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah; j. 6, h. 89, katanya:

"Suara perempuan ajnabi tidak aurat mengikut pendapat yang aṣaḥḥ (paling/lebih sahih) tetapi haram menikmati mendengarnya walaupun bacaan (al-Quran)."

Ketiga, Syeikh Sa‘īd Bā‘ishn (1270 H) yang bermazhab Shafi'i dalam Bushrā al-Karīm bi-Sharḥ Masā’il al-Ta‘līm (1425 H); Jeddah: Dār al-Minhāj; h. 305, katanya:

"Bacaan (al-Quran) yang haram atau makruh bukan pada zatnya adalah seperti bacaan perempuan dengan menguatkan suaranya di samping lelaki ajnabi dan bacaan di dalam tempat seperti tandas; kerana haramnya yang pertama (bacaan perempuan) dan makruhnya yang kedua (bacaan dalam tandas) adalah kerana datangnya sebab lain – bukan kerana zatnya."

Semoga bermanfaat.



___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments