OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Katanya, “saya melihat dalam sebahagian kitab sejarah daripada Imam al-Shāfi‘ī rahimahullah bahawa beliau menziarahi Imam Abū Ḥanīfah di Baghdad. Katanya, ‘maka, waktu solat subuh masuk ketika berada di samping kuburnya. Saya lalu solat subuh tanpa menjaharkan basmalah tidak tidak berqunut kerana malu dengan Abū Ḥanīfah.’”
Kisah ini tidak dapat disahkan kerana dinukilkan daripada “sebahagian kitab sejarah” secara mubham dan tanpa sanad. Matannya ganjil kerana Imam al-Shāfi‘ī dikatakan solat subuh di sisi makam Imam Abū Ḥanīfah, sedangkan beliau dalam al-Umm mengatakan, “dan aku membenci masjid dibina di atas kubur dan ia diratakan, solat di atasnya dalam keadaan tidak diratakan, atau solat menghadapnya.”
Kemudian, selaku ulama yang tergolong dalam aliran ahli hadis, Imam al-Shāfi‘ī tidak sampai ke tahap itu untuk mengangkat dan memuliakan imam aliran ahl al-ra’y, Imam Abū Ḥanīfah. Imam al-Shāfi‘ī bahkan mempunyai beberapa kata-kata yang merendah-rendahkan Imam Abū Ḥanīfah dan mazhabnya. Contohnya:
Pertama, “Abū Ḥanīfah mengadakan awal masalah secara silap, kemudian menqiyāskan keseluruhan kitab di atasnya.”
Kedua, “aku membaca kitab-kitab murid-murid Abī Ḥanīfah dan mendapati di dalamnya ada 130 helai kertas. Aku mengira 80 helai daripadanya menyalahi al-Quran dan sunnah.”
Kedua-dua kata-kata ini diriwayatkan oleh Ibnu Abī Ḥātim dalam Ādāb al-Shāfi‘ī wa-Manāqibu-hu dengan sanad yang sahih.
Tidak dinafikan terdapat kata-kata yang baik diucapkan oleh Imam al-Shāfi‘ī kepada Imam Abū Ḥanīfah dan murid-muridnya, namun jika digandingkan dan dibandingkan dengan kata-kata seperti yang dinukilkan tadi, sukar diterima akal bahawa beliau sanggup meninggalkan amalan yang dianggap oleh beliau sebagai sunnah Rasulullah semata-mata kerana memuliakan Imam Abū Ḥanīfah.
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment