Imam Syafie Berkahwin Demi Mendapatkan Ilmu?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Perjalanan hidup penuntut ilmu dan ulama berbeza daripada orang kebanyakan. Mereka bagaikan hidup dalam dunia lain. Demi mencapai reda Allah, khidmat untuk ilmu, dan kemaslahatan ummah, mereka sanggup melakukan apa sahaja yang kadang-kadang sukar untuk difahami oleh masyarakat umum.

Kisah ulama yang sanggup tidak berkahwin kerana ilmu biasa kita dengar. Syeikh ‘Abd al-Fattāḥ Abū Ghuddah mengumpulkan 20 orang ulama yang membujang sampai mati kerana mengutamakan ilmu dalam sebuah kitab khusus berjudul al-‘Ulamā’ al-‘Uzzāb Alladhīna Ātharū al-‘Ilm ‘alā al-Zawāj.

Tetapi, yang jarang kita dengar, ulama berkahwin dengan seorang perempuan semata-mata kerana ilmu. Ketika kecil saya mendengar cerita Imam al-Shāfi‘ī berkahwin dengan ramai perempuan semata-mata untuk mengkaji masalah haid, namun kisah ini tidak benar. Menurut riwayat, beliau hanya berkahwin dengan tiga orang perempuan dan salah seorang daripada mereka diceraikan selepas dukhūl.

Yang sahihnya, kisah Isḥāq b. Rāhawayh yang diriwayatkan dalam Tārīkh Dimashq daripada Aḥmad b. Salamah al-Naysābūrī (286 H), katanya:

تزوج إسحاق بن راهويه بمرو بامرأة رجل كان عنده كتب الشافعي وتوفي ولم يتزوج بها إلا لحال كتب الشافعي.
“Isḥāq b. Rāhawayh di Merv mengahwini isteri seorang lelaki yang mempunyai kitab-kitab al-Shāfi‘ī dan telah meninggal dunia. Beliau tidak mengahwininya kecuali kerana kitab-kitab al-Shāfi‘ī.”

Demikianlah orang yang tenggelam dalam keasyikan menikmati ilmu, sampaikan “gila” kepada perempuan pun kerana ilmu.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments