Poligami: Wanita Tidak Rasional

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Bukan kerana isteri sarat mengandung. Bukan kerana berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri. Bukan kerana keluarga tidak menerima. Bukan kerana mempergunakan agama. Tidak. Jujurlah kamu memang benci kepada poligami.

Buktinya, lelaki yang sebelum berkahwin lagi memberitahu isteri bahawa ia ingin berkahwin lagi, tetap tidak dibenarkan. Yang mempunyai harta dan berkemampuan untuk menyara lebih dari seorang isteri pun dihalang. Yang berkahwin dengan reda isteri pertama dan seluruh keluarga dalam keadaan penuh harmoni pun turut diumpat.

Ada sahaja cerita tidak baik tentang ta’addud, tanpa usul periksa, terus disebarkan. Aib tidak aib, mengumpat tidak mengumpat, fitnah tidak fitnah, kalian tidak kira. Yang penting, cerita-cerita itu membuatkan orang benci kepada poligami. Cerita-cerita baik tentang poligami kalian yang bersepah di media sosial, kamu diam seribu bahasa, pendam secukup rasa.

Ceramah tentang poligami harmoni haram kamu hadiri. Buku panduan untuk keluarga yang ingin mengamalkan poligami, kalau boleh, kamu hendak bakar dan abunya kamu ingin campak ke laut. Harmonilah macam mana sekalipun, kerana sudah benci, kamu akan benci sebenci-bencinya dan selama-lamanya.

Kamu mempertahankan isteri pertama bukan kerana dia dizalimi atau dianiaya, tetapi kerana ia mewakili kamu. Kamu menghina dan memburukkan suami dan isteri kedua bukan kerana mereka jahat, tetapi kerana kamu takut suami kamu dirampas oleh orang lain.

Hukum agama kamu tolak ke tepi. Yang halal bagi Allah, belum tentu halal bagi kamu. Yang haram bagi Allah, belum tentu haram bagi kamu. Kamu tidak menunggang agama bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana kebetulan agama tidak mengikut selera kamu.

Kalau tentang fadilat berbuat baik kepada isteri, hadis palsu pun kamu sanggup sebarkan, apatah lagi tentang galakan setia pada yang satu atau larangan menyakiti hati isteri dengan berkahwin lain, kalau ada, tentu akan kamu sebarkan. Tetapi, kamu tidak mampu melakukannya, kerana agama tidak mengikut nafsu kamu.

Jujurlah, usah berselindung di sebalik keadilan, simpati, atau kesetiaan. Akuilah bahawa kamulah penunggang agama yang tersakiti kerana tidak menemui apa-apa untuk ditunggangi.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments