OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Antara kata-kata Iblis dalam khutbahnya di hadapan para penghuni neraka ialah :
إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah berjanji kepada kamu semua dengan janji yang benar.
Surah Ibrahim (22).
Apakah antara janji Allah itu ? Ia hakikatnya telah pun Allah khabarkan menerusi beberapa firman-Nya berikut :
وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا
Maksudnya : Allah menjanjikan bagi lelaki-lelaki mukmin dan wanita-wanita mukminah (bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan mereka kekal di dalamnya.
Surah Al-Taubah (72).
Begitu juga firman-Nya :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا ۚ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ قِيلًا
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan mereka kekal di dalamnya selamanya. Sesungguhnya janji Allah itu benar, dan siapakah yang paling benar ucapannya selain Allah.
Surah Al-Nisa’ (122).
Sekiranya kita meneliti ayat-ayat yang menjanjikan syurga ini, kita akan dapati ia didahulukan dengan sebutan amalan-amalan soleh sebelumnya. Seakan bahasa mudahnya : “Awak buat amal soleh, awak akan dijanjikan ganjaran syurga oleh Allah SWT”.
Penat mana sekalipun kita melakukan amal ketaatan, yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa Dia tidak akan mengecewakan kita. Sejauh mana tenggelam dan seronoknya seseorang melakukan maksiat, ketahuilah bahawa janji syaitan itu dusta dan ia sendiri akan memungkirinya dan berlepas diri dari para pengikutnya pada hari kiamat kelak.
Kata Al-Imam Al-Qurtubi - rahimahullah :
إن الله وعدكم وعد الحق يعني البعث والجنة والنار وثواب المطيع وعقاب العاصي فصدقكم وعده ، ووعدتكم أن لا بعث ولا جنة ولا نار ولا ثواب ولا عقاب فأخلفتكم
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar. Iaitu (janji tentang wujudnya) hari kebangkitan, syurga, neraka, pahala bagi orang yang taat, serta hukuman bagi orang yang bermaksiat. Lalu Dia benar dalam janjinya kepada kamu.
Aku pula (Iblis) menjanjikan kepada kamu bahawa hari kebangkitan itu tidak ada, syurga dan neraka tidak wujud, ganjaran pahala dan hukuman itu tidak ada, lalu aku memungkiri janjiku.
Rujuk Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, Al Qurtubi.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment