OLEH: Abu 'Umayr
“Ini adalah pemutusan tanggungjawab pembatalan perjanjian dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia dengan mereka”
(Surah al-Tawbah – ayat 1)
Saban tahun, komuniti kaum muslimin sering digemparkan dengan isu penghinaan dan cercaan terhadap agama Islam dan umatnya. Para pencerca ini terdiri daripada variasi tingkatan di kalangan manusia sama ada para pemimpin negara, ahli politik bahkan dari kalangan marhaen biasa. Seandainya kita hendak menyenaraikan nama-nama mereka di sini sejak awal bermulanya ketamadunan moden, sudah pasti kita takkan mampu untuk menyatakan semuanya. Sebut sahaja sang pelukis daripada api, Charlie Hebdo dan entah berapa ramai daripada kalangan warga Belanda, ahli politik mereka seperti. Penghinaan ini seolah-olah sudah menjadi rutin tahunan, tiada usaha tegas dalam menangani wabak ini.
Sebagai umat yang berfikir dan merenung, sudah pasti kita akan sedar bahawa isu ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia Islam. Bahkan junjungan kekasih kita, Rasulullah -selawat dan salam Allah ke atas baginda- pada awal misi menyampaikan wahyu dari langit, baginda bahkan dihentam dengan lebih teruk dengan penyeksaan fizikal dan mental yang tidak dapat kita hadam. Dimaki di kalangan awam, dicederakan dengan balingan batu, kayu, dan tulang-belulang kering oleh kanak-kanak Ta’if, para sahabat dipaksa meninggalkan tawhid kepada Allah dan diseksa dengan kejam serta banyak lagi tentangan yang direkodkan dalam catatan sirah dan sejarah dakwah. Beginilah sunnatullah, kebaikan itu akan sentiasa ada lawannya.
Namun yang perlu dipersoalkan, apa yang menghalang para muslimin untuk bangkit melawan penghinaan ini? Butakah mereka dengan realiti dunia hari ini yang berlalu padanya seruan memperjuangkan hak asasi manusia sedangkan penuh kehinaan dan diskriminasi buat Islam dan kaum Muslimin. Sungguh telah benar sang Nabi ﷺ ketika baginda bersabda melalui Riwayat Abu Dawud, daripada Thawban:
“Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”
Sang utusan, melalui cahaya wahyu, telah mengatakan tentang kejadian yang berlaku pada hari ini 1400 tahun yang lalu. Apakah umat Islam ini umat minoriti, sehingga jumlah kita yang sedikit sehingga membesarkan para musuh ke atas kita? Sekali-kali tidak! Bahkan jumlah mereka ketika ini lebih banyak daripada bebuih di lautan nan megah seoerti mana yang digambarkan kekasih kita, Muhammad ﷺ. Namun malangnya, ramainya mereka ini tidak memberi manfaat sedikit pun kepada agama kecuali apa yang Allah kehendaki. Benarlah firman Allah di dalam Surah al-An’am ayat 116 yang bermaksud:
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Apakah yang telah menimpa umat itu sehingga ramainya mereka diratah hidup-hidup oleh golongan kuffar? Begitu jelas petunjuk yang ditinggalkan oleh sang nabi, itulah penyakit al-Wahn yang telah menimpa umat. Umat Islam pada hari ini sangat ramai, bahkan ianya merupakan agama yang paling berkembang pesat sebagaimana yang digambarkan oleh institut penyelidikan Pew, peningkatan sebanyak 70% diramalkan sehingga ke tahun 2060. Sebuah jumlah yang besar! Namun banyaknya syahwat dan syubhat yang melata di muka bumi Allah pada hari ini hasil tangan-tangan jahat manusia, umat Islam mula terjebak dalam budaya-budaya kotor Barat. Kecenderungan mereka ke arah kemodenan melampau menumbuhkan cinta mereka kepada dunia dengan subur. Agama dicairkan dengan slogan-slogan batil seperti memperjuangkan keadilan dan hak asasi kemanusiaan. Nilai jihad dicampak jauh-jauh dengan alasan tidak relevan pada zaman moden sehingga umat cenderung membuang nilai-nilai samawi kerana takut dengan ancaman kelompok kuffar dan munafik yang sentiasa berusaha memadamkan cahaya Allah dengan tangan-tangan mereka.
Namun begitu, Allah telah menjanjikan akan perlindungan olehNya sendiri. Akan sentiasa ada kelompok yang berusaha memelihara agama Allah dengan jihad ilmu dan amali. Begitulah janji yang dijelaskan oleh Nabi ﷺ dalam sebuah hadith yang cukup indah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Thawban:
“Akan ada segolongan dari umatku yang senantiasa menampakkan kebenaran. Tidak akan memudaratkan mereka orang-orang yang tidak membantu mereka sehingga datang perintah Allah sedangkan mereka dalam keadaan seperti itu.”
Inilah janji Allah dan RasulNya, telah benar kata-kataNya dan sucilah ia daripada kedustaan. Takdir telah termaktub, namun apakah usaha kita? Adakah sekadar goyang kaki menunggu berita kemenangan dari langit? Sudah pasti, ini bukanlah amalan yang seharusnya di amalkan kaum muslimin. Pertama sekali, hendaklah kita melazimi majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh para Ilmuan yang sahih sumber dan manhajnya. Demikian kawasan yang berpagar itu lebih mudah untuk dipelihara berbanding mana-mana lapangan kering-kontang yang dibiar tanpa penghuni. Selain itu, di samping menghadiri taman-taman syurga perlulah bagi kita untuk menjauhi segala bentuk perkara yang mendorong kepada syahwat dan syubhat. Tidak seharusnya bagi seorang Muslim untuk mencampakkan dirinya ke dalam lembah kebinasaan serta tidaklah mereka itu golongan yang akan terjatuh ke lubang perangkap yang sama dua kali. Yang paling utama, hendaklah senantiasa kita mengulang-ulang proses menghayati dan mengaplikasikan ibadah dan isti’anah semata-mata kepada Allah. Kepada siapa lagi kita akan bergantung setelah semuanya berpaling daripada jalan kebenaran?
Comments
Post a Comment