Jemaah Islamiyah, Angkara Khawarij

 OLEH: Taufiq Tuah


Telah berlaku pagi tadi serangan rambang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. Ada anggota polis yang terkorban dan cedera. Kenyataan awal mengatakan ini angkara Jemaah Islamiyah (JI). Terkejut juga masa baca sambil hirup air mineral jenama Desa.

Untuk yang belum tahu, JI ni ditubuhkan pada 1993 rentetan daripada gerakan² milik Kartosuwiryo di Indonesia. Seorang Khawarij yang mengajak untuk 'Khuruj' (keluar) dari pemerintah dengan senjata dan kekerasan.


-SIAPA KARTOSUWIRYO?

Dia pada awalnya ialah ahli Partai Syarikat Islam Indonesia (PSII). Kemudiannya mahu mendirikan daulah Islam atas nama Negara Islam Indonesia (NII) yang berpisah dari Republik Indonesia.

Tahap ke-konfiden-an nya, sampai dia boleh mengumumkan penubuhan Negara Islam Indonesia pada 7 Ogos 1949. Antara kawasan yang banyak menyokong negara ni ialah Jawa Barat, Sulawesi Selatan dan Aceh.

Presiden Indonesia ketika itu, Ir Soekarno terus melancarkan perburuan terhadap Kartosuwiryo. Kemudian Kartosuwiryo dihukum mati pada 1962.


LEGASI NII

Maka tertubuhlah JI sebagai menghidupkan kembali usaha Kartosuwiryo dan NII. Ada antara tokoh mereka yang akhirnya merantau ke Malaysia dan Singapura untuk merekrut pengikutnya.

Antara tokoh mereka ialah Abu Bakar Basyir dan Abdullah Sungkar. Mereka berdua membawa fahaman khawarij. Mereka mengkafirkan pemimpin² negara Islam dan menganggap semua mereka tahgut.

Maka mereka juga telah menghalalkan darah pemimpin² Islam. Maka tidak pelik jika penyerang Balai Polis Ulu Tiram pagi tadi menyerang tanpa berfikir panjang kerana bagi dia, segala anggota polis itu juga termasuk di dalam sistem taghut.


KHAWARIJ BUKAN SALAFI

Ada yang cuba kaitkan perbuatan JI ini dengan Salafi. Wal hal, ini semua ialah ajaran Khawarij. Para ulama salafi semuanya menentang perbuatan khawarij ini.

Hatta pada zaman Daesh pun, mereka sehingga mengugut bunuh para ulama salafi. Malah ulama² menuliskan banyak fatwa tentang Daesh. Di rantau kita, Ustaz Rasul Dahri juga banyak sangat-sangat menulis tentang bahayanya fahaman khawarij dan pengganas ini.

Mereka yang melampau ini tidak ada kena mengenanya dengan salafi. Malah, Mas Selamat (ahli JI) yang kononnya pernah berguru dengan Ustaz Rasul Dahri pun sebenarnya telah dibantah keras oleh Ustaz Rasul Dahri. Sehingga Mas Selamat pun meninggalkan kuliah ustaz ketika itu. Padahal datang kuliah pun berapa kali je.

Sedangkan jelas tokoh² JI ialah daripada tokoh² Khawarij seperti Abdullah Sungkar dan Kartosuwiryo.


SALAFI PENGGANAS?

Ketika Al-Maunah mengangkat senjata ingin menggulingkan kedaulatan Malaysia, adakah kita sebut mereka "Pengganas Asyairah"? Sedangkan jelas ahlinya semua Asyairah.

Ketika Nordin Mohd Top, rakyat Malaysia menyertai rangkaian Al-Qaidah di Nusantara dan menyertai beberapa pengeboman di Indonesia dan mengorbankan ramai orang awam, adakah kita menggelarnya " Pengganas Asyairah"? 

Apatah lagi telah jelas yang mengajak kepada keganasan itu ialah kerana pengaruh idea Khawarij dalam pemahaman mereka. Lalu dari mana pula validnya mengatakan Salafi asbab keganasan?

Sama halnya ketika orang kata Islam ialah asbab keganasan, di mana asasnya? Pastilah daripada syak wasangka dan kejahilan mereka saja.

Sedangkan yang jelas mengangkat senjata itu hanya Khawarij yang berlakon sebagai Ahli Sunnah dan Salafi (Daesh). Juga yang membuat pembantaian mengorbankan ramainya ahli sunnah itu ialah Syiah. Saban tahun ada bom dari Syiah yang cuba menyerang Kaabah. Saban hari ada rakyat Syria Ahli Sunnah yang dibantai oleh Syiah.


VIRUS KHAWARIJ

Markas² mereka di Ulu Tiram sebenarnya dah lama dimusnahkan. Cuma sisa ahlinya yang masih ada dan mengajarkan ajaran batil mereka.

Jelas, kita sepatutnya tidak sekali-kali perlu beri muka dengan mereka yang membawa idea khawarij. Termasuklah seperti Hizbut Tahrir yang masih giat di Malaysia. Dah kata Malaysia negara Taghut pun depa berdaftar juga dengan ROS.




BUKAN SALAH JI ? KITA BETUL?

Telah sampai 'update' bahawa penyerang Balai Polis Ulu Tiram tempoh hari bukan dari JI. Alhamdulillah, sedikit sebanyak menenangkan dada yang dedau kot² mereka masih aktif di negara kita.

Namun kenyataan rasmi juga akui bahawa ayah penyerang ialah bekas anggota JI ketika JI masih wujud di sini dahulu. Maka jelas sahaja ayah mendidik anak²nya untuk membawa faham yang sama dan menerapkan idea² yang sama.

Ya, JI ialah Khawarij dan bukannya Salafi. Jauh sekali mereka dari Sunnah.

Saya syak ada pihak yang meminta kenyataan rasmi ini dimurnikan untuk rakyat Malaysia sebagaimana banyak nya berita lain. Saya tak menyalahkan mereka dalam usaha mengharmonikan keadaan yang sedang berlaku di Malaysia dini hari.

Namun tidak menafikan bahawa serangan itu juga termotivasi dari idea² Khawarij. 

Jika kita fikir Khawarij hanyalah satu mazhab lain, mungkin kita kena ulang kaji lagi. Khawarij dan Muktazilah mempunyai idea yang boleh saja terpalit kepada sesiapa saja jika mereka tak cakna.

Bukannya perlu si fulan berkata "aku khawarij" kemudian baru lah kita kata dia Khawarij. Cukup sahaja ada idea² Khawarij, maka jelas mereka telah terpalit dengan dakyah itu.

Apatah lagi jika organisasinya sendiri telah mengajak kepada melepaskan ketaatan kepada pemerintah Muslim malah ada juga yang mengajak berdemo sana dan sini. Ini semua jelas sebahagian dari bibit² Khawarij. Apatah lagi jika mereka mengangkat senjata.

Ilmu memainkan peranan penting dalam membasmi virus ideologi ini.

Ketika kita selesa JI sudah tiada, masih ada sisa² mereka yang giat menabur baja cuba menyemai kembali tinja² mereka yang telah terbenam. Maka jelas walaupun habis kes di atas kertas, mereka masih tersebar tanpa kita sedari.

Kendatipun bukan perintah JI yang membuat serangan, masih juga kita perlu risau. Kerana jelas fahaman Khawarij dan Neo-Muktazilah masih ada di dalam negara.

Daripada Abu Al-Aufa radhiallahu anhu, bahawasanya Nabi sallalahu alaihi wassalam bersabda:

الخوارج كلاب النار

“Khawarij adalah anjing-anjing neraka.”

Hadis sahih. Riwayat Ibnu Majah.

Apa sahaja nama organisasi mereka, hakikatnya Khawarij tetap Khawarij.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI



Comments