Politik Aqidah: Bagaimana Negara Mengatur Keyakinan Umat

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Markaz al-Albani di Amman, Jordan ditutup oleh kerajaan Jordan melalui makar musuh mereka. Dan melalui sepucuk surat, sebuah negeri mewajibkan pegawai-pegawai masjid “berpegang kepada akidah aliran Asha’irah-Maturidyyah dan fiqh mazhab Shafi’i dalam semua aktiviti pengajaran, aktiviti ibadat, dan pengimarahan masjid.”

Tidak cukup dengan itu, mereka hendaklah “mengekalkan amalan dalam pelaksanaan ibadat sebagaimana yang lazim diamalkan di negeri K dan tidak melaksanakan pendekatan baharu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Sebarang kemusykilan hendaklah dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri K dan pihak-pihak berautoriti agama di negeri K.”
Tambah mereka lagi, pegawai-pegawai masjid hendaklah “tidak melantik individu yang berpegang kepada aliran akidah, mazhab fiqh, dan amalan agama yang lain daripada ketetapan tersebut sebagai imam rawatib, bilal rawatib, dan lain-lain.” Dan akhir sekali diberi ugutan, “Adalah ditegaskan bahawa pelanggaran terhadap ketetapan tersebut akan menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat dan pentadbiran ini tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.”
Barangkali golongan anti-Salafi di Jordan dan negeri K sedang mengadakan majlis kesyukuran merayakan kejayaan ini, tetapi sejujurnya saya tidaklah terlalu terkejut dengan perkembangan yang berlaku. Pergeseran dua aliran terbesar Sunni, iaitu Hanabilah-Salafiyyah dengan Asha’irah-Maturidiyyah sudah berlangsung sejak lebih 1000 tahun yang lalu, sejak zahirnya Ibnu Kullab dan Abu al-Hasan al-Ash’ari, dan perkembangan ini hakikatnya adalah penerusan tradisi penentangan Asha’irah-Maturidiyyah terhadap golongan Hanabilah dan Salafiyyah melalui kuasa. (Ya, tidak dinafikan bahawa Salafiyyah juga pernah sebegitu, tetapi tidak sepernah sedahsyat Asha’irah dengan Ibnu Tumart mereka ketika memaksakan akidah Asha'irah ke atas penganut mazhab Salafi-Maliki di Maghrib pada abad keenam Hijrah).
Konflik Asha’irah lwn Hanabilah ini isu biasa. Perkembangan terbaru ini hanyalah sambungan kisah-kisah pertembungan antara mereka yang kadang-kadang melibatkan pertumpahan darah seperti yang boleh dibaca dalam al-Azmah al-‘Aqidiyyah bayna al-Asha’irah wa-Ahl al-Hadith Khilal al-Qarnayn al-Khamis wa-al-Sadis al-Hijriyyayn dan Mihnah Ibni Abi al-‘Izz al-Hanafi. Dalam buku al-Azmah al-‘Aqidiyyah khususnya, takfir dan tindakan ekstrim boleh dilihat dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Golongan yang majoriti, berpengaruh, dan berkuasa biasanya akan menggunakan kelebihan yang ada bagi menekan dan menindas lawan.
Bercanggah dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri, perlembagaan negara, dan mazhab rasmi atau majoriti bukanlah poin sebenar. Menghormati amalan yang menjadi kelaziman dan bimbang berlaku kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat adalah alasan yang dibuat-buat dan klise. Semua orang tahu mereka sendiri akan menyebarkan fahaman dan mengamalkan pegangan sendiri di tempat orang, walaupun dilarang. Semua orang tahu bahawa mereka juga melanggar pendapat-pendapat imam dan mazhab sendiri (kemudian memberi alasan bahawa ini talfiq yang dibenarkan, atau mereka terpaksa kerana mengikut maslahat, berpegang dengan kaedah "berubahnya fatwa dengan berubahnya zaman", dan alasan-alasan lain yang kadang-kadang melucukan juga) kalau mereka mahu.
Isunya adalah mereka mahu menggunakan kuasa dan kekerasan, kerana mereka mendapati bahawa mereka tidak berupaya menang sebagai seorang jantan melalui dalil dan hujah. Itu sahaja. Dan mereka pastinya tidak akan menang, kerana mereka tidak memperjuangkan kebenaran, tetapi "keharmonian", kelaziman, dan status quo, sekalipun batil.


Photo by Valery Arev on Unsplash

Comments