Adakah Mempercayai Sahabat Termasuk Di Dalam Hal Aqidah

OLEH: Taufiq Tuah

Para sahabat ialah orang-orang beriman yang sempat berjumpa atau bertemu dengan Rasulullah SAW. Mereka ialah yang terawal dalam menerima Islam, mereka  yang terawal dikalangan umat Nabi Muhammad SAW dan mereka lah yang bersama-sama Rasulullah SAW dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Malah Rasulullah SAW mengiktiraf mereka sebagai generasi terbaik sebagaimana dalil,

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ
“Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.” 

ADAKAH MEMPERCAYAI PARA SAHABAT TERMASUK HAL AKIDAH?
Ada golongan yang cuba untuk menafikan bahawa mempercayai para sahabat tidak termasuk di dalam akidah. Alasan mereka, kerana tidak ada di dalam Rukun Iman.

Hakikatnya, mereka telah termakan syubhat yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Para sahabat ialah golongan yang sangat penting di dalam Islam. Kerana usaha mereka, Islam berkembang luas sehingga ke Maghribi, Sepanyol malah Cina. Mereka lah yang menyambung dakwah Rasulullah SAW.

Mereka lah yang menjaga risalah-risalah Al-Quran. Mereka lah yang menjaga lajah dan perkataan setiap huruf di dalam Al-Quran. Juga mereka juga lah yang menjadi para perawi kepada hadis-hadis yang menjadi pegangan umat Islam.

Salah satu syarat menjadi perawi ialah, perawi mestilah beragama Islam. Maka mana-mana ajaran yang mengkafirkan para sahabat sebenarnya telah pun menolak kedudukan para sahabat yang mulia sekaligus menolak para perawi hadis-hadis sahih.

Jika kita menolak perawi-perawi hadis, maka tidak ada satupun hadis yang laku pada hari ini. Oleh itu, perbuatan mengkafirkan para sahabat sebenarnya juga telah menolak kedudukan hadis. Apabila menolak hadis, itu bermakna kita telah menolak Al-Quran yang menyuruh untuk berpegang dengan sunnah Rasulullah SAW. Jika menolak Al-Quran, bermakna kita telah ingkari salah satu dari Rukun Iman yang mana telah menyentuh hal-hal akidah.

MUSUH-MUSUH PARA SAHABAT
Antara yang kuat mengkafirkan para sahabat ialah Syiah dan Khawarij. Sesungguhnya mereka sedang berdiri di jalan yang bengkok dan tidak menerima kebenaran.

Ahli Sunnah Wal  Jamaah menjadikan para sahabat sebagai tauladan terbaik selepas Rasulullah SAW. Malah pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada nas-nas Al-Quran dan hadis semuanya dengan kefahaman para sahabat.

Cara kita memahami konsep Islam semuanya dengan gaya Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan betapa pentingnya kedudukan sahabat Rasulullah SAW.


KESIMPULAN:
Bagi sesiapa yang mengkafirkan para sahabat, maka raguilah akidah mereka. Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kemuliaan mereka, siapakah kita untuk menafikan kedudukan tersebut?

Wallahualam

___________________________
 Taufiq Tuah
  ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments