OLEH: Taufiq Tuah
عن عبد الله بن بشر الخثعمي عن أبيه انه سمع النبي صلى الله عليه و سلم يقول : لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش
Dari Abdullah Bin Bisyr al Kath'ami dari Abi Anah mendengar dari Rasulullah SAW berkata, "Konstantinople akan jatuh ketangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja tenteranya adalah sebaik-baik tentera"
[Musnad Ahmad 4/335]
Perbincangan ini perlu dibawa kepada berberapa isu status hadisnya iaitu. Kata Sheikh Syuaib Arnaut: Sanadnya dhaif disebabkan 'jahalah' Abdullah bin Bisyr al Kath'ami. Hanya al Walid bin al Mughirah meriwayatkan daripadanya. Tidak dijumpai ulama yang mengatakannya thiqah kecuali Ibn Hibban.
Abdullah bin Bisyr dia seorang perawi yang majhul dan hanya ditsiqahkan oleh Ibnu Hibban, (lihat Silsilah Adh Dha’ifah, 878).
Maka dapat dijelaskan bahawa hadisnya dhaif. Seperti yang telah kita maklum bahawa hadis yang dhaif tidak layak untuk dijadikan hujah.
Kesimpulannya, untuk mengangkat Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai sebaik-baik raja sebenarnya merupakan pujian yang agak berlebihan. Begitu juga untuk memuji sebaik-baik tentera juga ialah sangat berlebihan. Hal ini kerana kita pasti bahawa sebaik-baik raja atau 'Amir' sudah pasti lah Rasulullah SAW sendiri kerana Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik tauladan. Hal ini sebagaimana dalil,
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhirat serta banyak berzikir kepada Allah.”
[ Surah Al-Ahzab: 21]
Jika hendak dikatakan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai sebaik-baik raja selepas Rasulullah SAW juga sebenarnya tidak layak kerana dalil,
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Sebaik-baiknya manusia adalah zamanku, kemudian setelahnya, kemudian setelahnya.
[HR. Bukhari No. 2652]
Setelah Rasulullah SAW menjadi amir, pangkat itu diberikan kepada Khalifatur Rasul Abu Bakar As-Sidiq. Maka pastilah kedudukan Abu Bakar ialah sebaik-baik raja selepas baginda Rasulullah SAW. Malah selepas baginda, pastilah terisi dengan para Khulafa Ar-Rasyidin yang mana telah dijanjikan syurga. Tidak terlupa juga seorang mujaddid dari Bani Umayyah iaitu Amirul Mukminin Umar Bin Abdul Aziz. Kedudukan Amirul Mukminin Umar Bin Abdul Aziz ialah kedudukan yang disepakati ijma oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Maka tanggapan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai sebaik-baik raja sememangnya tidak layak. Tambahan pula dengan banyaknya pengamalan-pengamalan syirik dan kufur yang diredhai oleh beliau sedangkan beliau ada kuasa untuk menentangnya. Sebaliknya, beliau hanya redha dengan berleluasanya kekufuran tersebut. Pemujaan kubur, zikir-zikir bidaah dan pelbagai lagi ritual-ritual lain yang sepatutnya tidak dibenarkan, telah dihalalkan di dalam pemerintahannya.
Ada yang mungkin bertanya, jika benar Sultan Muhammad Al-Fateh tidak dipuji oleh Rasulullah SAW, bagaimana pula beliau mampu menakluk Konstantinopel?
Jawapannya sangat mudah. Kita melihat bagaimana Hulagu Khan atau Salahuddin Al-Ayubi atau Tariq Bin Ziyad hatta Sultan Muzaaffar Shah (Melaka 1445-1459) sekalipun tetap tidak ada namanya dipuji oleh Rasulullah SAW. Namun kemenangan mereka di medan perang adakah perlu diragui? Tidak. Kita mengiktiraf kemenangannya, namun kita meletakkan pujian itu pada tempatnya.
Apa yang sangat jelas di sini ialah, tidak lah lebih baik Sultan Muhammad Al-Fateh berbanding Saidina Abu Bakr As-Siddiq sehingga layak kita memujanya lebih dari apa yang sepatutnya. Malah, hadis tentang sebaik-baik raja itu ialah dhaif dan tidak perlu dijadikan hujah.
Wallahualam.
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment