Berbudi Bahasa Di Kalangan Muslim Berbeza Manhaj

OLEH: Taufiq Tuah

Berbudi bahasa ialah salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW.

Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya no. 6475 dan Muslim dalam kitab Sahihnya no. 74 meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda.

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”


Oleh itu, menjadi keperluan kepada setiap Muslim untuk menjaga setiap pertuturan dengan baik.

Juga di dalam Melayu yang sepatutnya terkenal dengan budi bahasa yang tinggi. Apabila bercakap lapik dan beralas.

Di adab Melayu kita juga diajar untuk berpantun atau berkias dan berpepatah bagi membentuk pribadi budi dan akhlak yang baik terutamanya dari segi percakapan.

Artikel kali ini sebenarnya lebih mahu mengenekankan kepada mulut para orang tahu agama ataupun agamawan yang sering kita lihat di video-video ceramah ataupun apa yang pengikut mereka komen.

Asatizah membawakan  pelbagai jenis pandangan dan idealogi. Netizen atau masyarakat realiti tidak terkecuali dalam memerhati pandangan mereka. Kadang kala pandangan mereka ada yang tidak sepandangan dengan kita. Maka muncul lah pengguna internet yang buruk akhlaknya, mencaci maki dan mengutuk asatizah di komen tersebut. Ini bukanlah akhlak Rasulullah SAW. Juga terkadang digelar mereka dengan haiwan-haiwan tertentu. Ini semua bukanlah contoh dari Islam.

Mungkin mereka akan memberi alasan, "Puak sana yang maki kami dulu". Namun dalam menjaga akhlak Muslim, sepatutnya kita tidak membalas makian mereka dan turut melakukan kekejian itu.

Tidak boleh juga diantara kita mengaibkan keperibadian mana-mana asatizah yang tidak sepandangan dengan kita. Apabila mengkritik, cukup lah mengkritik pandangan mereka dan tegakkan pandangan kita dengan hujah. Bukannya dengan memperendah mereka.

Juga ada asatizah yang berlebih dalam bergurau. Maka mereka memaki hamun di dalam kuliah mereka dengan harapan kelihatan lebih berani dan dengan harapan pendengar akan tertawa dengannya. Misalnya dengan mengatakan "Mu bodo.. Mu ahh lembu".. Ini semua bukanlah contoh dari Islam.

Juga tidak boleh daripada kita mengkafirkan mereka yg tidak sepandangan dengan kita selagi mereka menyembah Allah SWT dan berkiblatkan Kaabah. Sebagaimana ada asatizah yang menyebut, "Mu ahh kape.." dan tak lupa juga pada hari ini mereka menggelar "Ini ulama taghut!". Segala perbuatan takfir ini bukanlah daripada Islam. Habis semua ulama dikafirkan dan ditaghutkan sehinggalah yang tinggal Muslim atas dunia ini hanyalah yang sepandangan dengan mereka. Mereka merasakan mereka sahaja yang Muslim dan merasakan diri mereka 'Ghurabah'. Sedangkan Muslim tidak mengajar umatnya untuk takfir mentakfir.

Dari Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda, “Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya maka sungguh tuduhannya itu akan kembali kepada salah seorang di antara mereka berdua.”
Dalam sebagian riwayat disebutkan,
“Apabila sebagaimana apa yang dia katakan -maka dia tidak bersalah- akan tetapi apabila tidak sebagaimana yang dia tuduh maka tuduhan itu kembali kepadanya.”
[HR. Bukhari dan Muslim]

Walaupun mereka mungkin tidak sepandangan dengan kita. Mungkin juga mereka tidak semanhaj dengan kita. Mungkin juga tidak semazhab dengan kita. Namun mereka juga berhak mendapat penghormatan dari kita sekadarnya mereka perlu peroleh.

Perbuatan memaki dan menghina ini hanya akan mengeruhkan segala apa yang jernih. Akhirnya, perkataan makian dan mencarut menjadi darah daging dalam masyarakat. Ada diantara mereka yang menyebut-nyebut kemaluan ibunya sebagai makian. Akhirnya, generasi Muslim rosak dengan mulut-mulut yg tidak dijaga.
















___________________________
   Taufiq Tuah
    ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments