Islam Dan Dalil Berpisah Tiada

OLEH: Taufiq Tuah

Tajuk yang diberi pada artikel ini sangat sesuai di dalam kalangan masyarakat kita iaitu Nusantara. Pernah kita dikala kecil diajar untuk menghormati guru. Namun diajarkan kita apabila ingin menghormati guru, maka jangan banyak bertanya. Malah, budaya Melayu dilarang untuk bertanyakan 'sumber' atau 'dalil' daripada guru tersebut terutamanya dalam hal agama.

Ramai asatizah pada hari ini yang sangat takut dengan soalan, "Apa dalilnya?" . Sepatutnya para asatizah tidak perlu takut dengan soalan ini. Berikan sahaja kepada yang bertanya akan dalilnya. Jika tidak tahu dalil, maka katakanlah, "Saya tidak tahu."

Jangan jadi seperti sesetengah asatizah yang tidak tahu dalil, kemudian mencipta dalil-dalil sendiri yang akhirnya membawa kepada hadis palsu. Asatizah juga sepatutnya mengkaji dahulu kesahihan hadis yang ingin disampaikan.

Mengapa melampirkan dalil? Hal ini kerana Islam ialah agama wahyu daripada Allah SWT  dan wahyu itu hanya dapat didapati di dalam Al-Quran dan Hadis. Maka tiada tempat lain yang lebih layak untuk kita menerima Islam selain dari Al-Quran dan Hadis Sahih. Hal ini sebagaimana dalil,

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ
Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.
[ HR Al-Hakim - Sahih]


Masyarakat juga sebagai Muslim sangat layak untuk mengetahui dalil kepada sesuatu hukum. Sifat ingin tahu dalil ialah sifat yang sangat sihat. Hal ini menunjukkan mereka mengambil berat terhadap agama mereka agar tidak ada sebarang penyelewengan di dalam pegangannya.

Sebagai asatizah, sepatutnya berasa malu apabila mereka menyembunyikan dalil. Sepatutnya tugas pendakwah ialah menyampaikan dalil-dalil beserta pandangan yang rajih dan bukannya menyembunyikan ilmu Allah SWT ini. Hal ini kerana dalil,

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati"
[Surah Al-Baqarah: 159]

Bagi yang tidak memberi tahu dalil dengan alasan "Orang awam tidak akan faham", sesungguhnya mereka telah memandang rendah terhadap orang awam. Malah jika takut terkeliru, maka sememangnya tugas asatizah untuk meluruskan kekeliaruan tentang sesuatu dalil. Apabila ada pandangan daripada mazhab yang berbeza dan mereka tahu dalilnya, perlu lah diberikan dalil tersebut beserta huraiannya yang sahih. Jika tidak mampu berbuat demikian, cukuplah dakwah sebagai takat yang kita tahu dan diam yang lainnya jika tidak tahu. Hal ini kerana dalil,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.
[ Muttafaqun alaih]


Ada pula asatizah yang takut apabila ditanya tentang dalil, maka mereka berhujah atas hadis palsu, "Barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya". Ini ialah perbuatan asatizah-asatizah yang tidak bertanggungjawab. Tergamak mereka berdusta atas nama Rasulullah SAW. Hal ini telah ditegah sebagaimana dalil,

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.”
[Muttafaqun alaih]


Wahai muslimin, tanyalah kalian kepada pengajar kalian
"Mana dalilnya?"
"Apa hadisnya?"
"Nas Al-Qurannya mana?"
"Apa sandarannya?"
"Mana contoh dari Rasulullah?"
"Mana contoh dari sahabat?"

Wahai asatizah, janganlah kalian berdusta dalam setiap kata-kata. Jika tidak pasti kesahihannya, maka janganlah bercerita. Diam, dan semak dahulu sebelum menyampaikan. Setiap pertuturan ini akan diadili di akhirat kelak.

Budayakanlah adat bertanya dalil. Sesungguhnya ia perbuatan mereka yang menjaga ketulenan agama. Semoga Allah SWT merahmati mereka yang ikhlas dalam menjaga agama Allah SWT.

Wallahualam

___________________________
 Taufiq Tuah
  ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments