OLEH: Taufiq Tuah
Ini merupakan perbincangan asas di mana setiap Muslim pastilah tahu perkara-perkara yang membatalkan wudhu kerana Muslim akan berwudhu setiap hari.Namun kita hanya diajar tentang perkara yang membatalkan wudhu tanpa kita ketahui dalil yang menyebabkan pembatalan itu. Maka penulisan ini akan menyingkap apakah hujah disebalik apa yang kita taklid selama ini.
1. HADAS KECIL (MEMBUANG AIR KECIL/BESAR DAN MEMBUANG ANGIN/KENTUT)
“Solat seseorang yang berhadas tidak akan diterima sampai dia berwudhu.” Lalu ada orang dari Hadhramaut mengatakan, “Apakah maksud hadas, wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah pun menjawab, “Di antaranya ialah kentut tanpa bunyi atau kentut dengan bunyi.”
[ HR Bukhari]
2. HADAS BESAR (MANI), MAZI DAN WADI
الْمَنِىُّ وَالْمَذْىُ وَالْوَدْىُ ، أَمَّا الْمَنِىُّ فَهُوَ الَّذِى مِنْهُ الْغُسْلُ ، وَأَمَّا الْوَدْىُ وَالْمَذْىُ فَقَالَ : اغْسِلْ ذَكَرَكَ أَوْ مَذَاكِيرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ.
“Mengenai mani, mazi dan wadi adapun mani, maka diharuskan untuk mandi. Sedangkan wadi dan mazi, Ibnu ‘Abbas mengatakan, “Cucilah kemaluanmu, kemudian berwudhulah sebagaimana wudhumu untuk solat.”
[ HR Baihaqi - Sheikh Abu Malik mensahihkan hadis ini ]
3. TIDUR LENA DAN TIDUR MATI
Tidur mati ialah tidur yang sehingga tidak didengari segala bunyi disekeliling. Tidur yang seperti ini membatalkan solat kerana situasi seperti ini tidak dapat menolak kemungkinan untuk berhadas secara mereka tidak sedar. Mungkin sahaja mereka telah terkentut ketika tidurnya tanpa disedari kerana keadaannya yang sudah tidur lena.Adapun jika tidurnya masih boleh mendengar suara sekeliling dan masih separa sedar, maka 'kemungkinan berhadas' itu boleh ditolak. Malah ada hadis yang membenarkan iaitu,
أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالنَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- يُنَاجِى رَجُلاً فَلَمْ يَزَلْ يُنَاجِيهِ حَتَّى نَامَ أَصْحَابُهُ ثُمَّ جَاءَ فَصَلَّى بِهِمْ.
“Ketika solat hendak didirikan, Nabi SAW berbisik-bisik dengan seseorang. Baginda terus berbisik-bisik dengannya hingga para sahabat tertidur. Lalu Nabi SAW pun datang dan solat bersama mereka.”
[ HR Muslim ]
4. GILA, MABUK, HILANG AKAL DAN PENGSAN.
Ini semua juga membatalkan wudhu. Hal ini kerana perkara-perkara tersebut juga boleh membawa kepada kemungkinan berhadas tanpa sedar sebagaimana tidur lena dan tidur mati.
5. MEMAKAN DAGING UNTA
Makan secara mutlak tidaklah membatalkan wudhu. Namun lain keadaannya apabila memakan daging unta kerana ada dalil yang mengisyaratkan pembatalannya.
أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَأَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الْغَنَمِ قَالَ « إِنْ شِئْتَ فَتَوَضَّأْ وَإِنْ شِئْتَ فَلاَ تَوَضَّأْ ». قَالَ أَتَوَضَّأُ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ قَالَ « نَعَمْ فَتَوَضَّأْ مِنْ لُحُومِ الإِبِلِ ».
“Ada seseorang yang bertanya pada Rasulullah SAW, “Apakah aku mesti berwudhu setelah memakan daging kambing?” Baginda menjawab, “Jika engkau mahu, berwudhulah. Namun jika enggan, maka tidak mengapa engkau tidak berwudhu.” Orang tersebut bertanya lagi, “ Adakah seseorang mesti berwudhu setelah memakan daging unta?” Baginda menjawab, “Iya, engkau harus berwudhu setelah memakan daging unta.”
[ HR Muslim]
Wallahualam
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment