Perlukah Menjaga Hati Ahli Bidaah

OLEH: Taufiq Tuah

Bagi sesetengah orang kita sebenarnya sudah pun sedia maklum tentang kemungkaran dalam berberapa hal-hal kehidupan yang diambil daripada adat. Contohnya seperti mengadakan kenduri arwah dan tahlil arwah. Juga mengadakan majlis Qasidah sempena Maulud Nabi dan menghadirinya.

Bagi mereka yang mengetahui tentang kemungkaran ini, telah difahami bahawa perbuatan-perbuatan yang demikian tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga para sahabat. Penambahan ibadat seperti ini merupakan perkara yang baru dalam Islam. Apabila Islam ditokok tambah, maka penambahan itu bukanlah datang dari Rasulullah SAW. Pembaharuan seperti ini lah yang dikenali sebagai bidaah.

Adapun yang berpandangan bahawa bidaah ini terbahagi kepada dua iaitu bidaah hasanah dan bidaah dolalah. Ada juga yang memanggilnya bidaah mahmudah dan bidaah mazmumah. Harus difahami makna disebalik bidaah mahmudah itu terlebih dahulu.

Bidaah mahmudah ialah perkara yang Rasulullah SAW tidak buat, tetapi hal itu luar daripada kerangka ibadah. Imam Nawawi memberi contoh seperti membina sekolah untuk pembelajaran. Juga boleh dicontohkan juga seperti menggunakan komputer dalam pembelajaran dan menggunakan kereta untuk perjalanan. Hal-hal ini semuanya tidak terkait dengan perkara-perkara ibadat yang mana membuatkan ia tergolong di dalam bidaah mahmudah (bagi mereka yang berpandangan bahawa bidaah itu ada dua jenis).

Bidaah dolalah pula bermaksud perkara ibadat yang ditambah di dalam agama seperti menambah rakaat pada solat Subuh dan mencipta doa khusus untuk amalan bagi perkara yang tiada doa khusus padanya. Ada yang menambah-nambah lafaz pada tahlil yang mana penambahan itu tidak pernah tsabit dari nas dan dalil. Maka ia merupakan bidaah dolalah (bagi mereka yang berpandangan bahawa bidaah ada dua jenis).

Sebenarnya, tiada percanggahan tentang bidaah di dalam hal agama adalah seburuk-buruk perkara. Bagi mereka yang mengatakan bidaah itu dua jenis mahupun satu, semuanya bersetuju bahawa perbuatan penambahan dalam agama dan ibadat adalam perkara yang sangat buruk.

Maka perbuatan seperti bertahlil arwah dan berqasidah di hari maulid nabi merupakan perkara yang kononnya berpahala (ibadah) padahal itu perkara itu tidak pernah diajar di dalam Islam. Hal-hal itu tidak datang dari Al-Quran, bukan dari Rasulullah SAW, bukan juga dari para sahabat dan bukan juga dari mana-mana tabien. Maka perbuatan itu adalah ibadah baru yang menjadikan ia sebagai bidaah dolalah.

Telah kita telusuri apa itu bidaah,

Maka kita membuat pemerhatian di dalam kehidupan nusantara ini di mana perbuatan-perbuatan bidaah ini semakin bertambah di dalam adat kita.
iaitu termasuk lah

1. Mengadakan tahlil arwah.
2. Mengadakan kenduri arwah (ada hadis yang melarang ia)
3. Mengadakan sambutan Maulud Nabi.
4. Berqasidah kononnya berzikir sambil bertaqarrub pada Allah.
5. Mengkhususkan bacaan yasin di malam jumaat.
6. Mandi syaaban.
7. Solat sunat khusus sebelum solat Jumaat pada setiap awal bulan.
8. Mengimamkan doa selepas solat berjemaah.

dan banyak lagi yang kita boleh nampak di dalam masyarakat kita.

PERSOALANNYA!!

"Sebagai orang yang sedar, bagaimana untuk saya berhenti melakukan perkara-perkara tersebut?
Sedangkan perbuatan-perbuatan ini sudah sebati dalam masyarakat kita. Apabila saya meninggalkan salah satu darinya, saya akan dipandang hina. Malah akan dicap sesat dan digelar wahabi. Bagaimana untuk saya teruskan perjalanan Islam ini?"

"Boleh kah saya ikut sahaja perkara di atas supaya dapat menjaga hati mereka. Saya akan berpura-pura mengikut adat ini namun hati saya sebenarnya menafikannya. Adakah boleh saya amalkan kaedah ini?"




Benar, sebenarnya bukan perkara yang mudah bagi kita untuk menghentikan adat-adat karut ini. Persekitaran membuatkan kita semakin sukar untuk menghentikan hal tersebut. 

Perlukah menjaga hati orang sekitar?
Sampai bila kita mesti menjaga hati mereka? Sedangkan mereka tidak sedikitpun peduli tentang Islam. mereka tidak pedulikan perbuatan mereka yang menyanggahi Islam. Mengapa harus kita menjaga hati mereka setelah mereka memudaratkan Islam? 
Tidak perlu berpura-pura mngikut mereka. Kita ada Al-Quran dan Sunnah, maka teguh dan zahirkan ajaran Islam ini. Berhenti, dan terus tinggalkan majlis itu. (Jika anda mampu menasihati mereka itu lebih baik). 

Bagaimana kita boleh senang melihat mereka yang membuat karut dalam agama kita? Mata saya tidak akan selesa melihatnya. 

Tidak perlu juga berpura-pura tadah tangan mengikut imam. Berzikir lah sebagaimana kita ingin berzikir. Berdoalah sebagaimana kita ingin berdoa. Berdoa itu hak semua muslim, dan para tok imam tidak ada kuasa untuk menyelaraskan doa kita dengan doa jemaah-jemaah yang lain. 
Jika kita menjadi imam, kita tidak perlulah mengimamkan doa mereka. Cukup lah kita berzikir sebagaimana telinga kita mampu mendengarnya. Tidak perlulah membaca lebih kuat dari itu, mungkin masih ada makmum masbuq yang masih menambah rakaat mereka. Dan jemaah yang lain juga ada hal yang mana mereka tidak mahu diganggu.

Jika ada jemputan ke kenduri arwah, tidak perlulah kita hadiri. Kita tidak sekali-kali menggalakkan perbuatan yang bukan dari Islam ini. Kenduri sebenarnya menjadi tanda kita gembira dengan sesuatu di dalam nusantara. Kita berkenduri ketika berkahwin dan dikurniakan anak. Kita gembira dan berkenduri di kala anak kita mendapat keputusan yang baik dalam perperiksaannya. Bagaimana ingin diperjelaskan bagi mereka yang berkenduri atas kematian keluarga? Apakah jenis kegembiraan yang terpacul dari hati mereka sehingga mampu berkenduri di kala berlaku kematian? Maka jauihi lah majlis tersebut. 

Ada juga yang mengajak pada tahlil arwah. Sedangkan tahlil bukanlah untuk dikhususkan untuk kematian. Rasulullah SAW juga tidak melakukan ia. Ibadah ini merupakan ibadah baru yang nyata. Maka jangan lah juga menghadiri ia.



Kadang kala anda digelar WAHABI dan sesat. Sedangkan apa yang dibuat hanyalah menuruti Al-Quran dan hadis-hadis sahih. Maka jika digelar seperti itu, jangan lah takut akan gelaran itu. Keredhaan yang kita cari hanyalah keredhaan dari Allah SWT. Tak luak pun jika digelar seperti itu. Mulut manusia akan sentiasa terbuka dan berbicara yang entah apa. Tidak perlulah diendahkan kata-kata itu. Sesungguhnya Allah SWT bersama dengan mereka yang bersama dengan Nya.


Tidak perlu berpura-pura, tidak perlu nak jaga hati.
Bikin macam kita ini muslim. Cukuplah kita menjaga Islam kita.

Wallahualam.

___________________________
    Taufiq Tuah
     ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments