OLEH: Taufiq Tuah
Hal baiah ini ialah berdasarkan dalil daripada Imam Muslim bahawa,
"Dahulu Bani Israil itu dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi mangkat, maka akan digantikan dengan nabi lain. Dan sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun setelahku dan akan muncul para khalifah yang banyak. Mereka bertanya: Lalu apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Nabi saw. menjawab: Setialah dengan baiah khalifah pertama dan seterusnya serta berikanlah kepada mereka hak mereka, sesungguhnya Allah akan menuntut tanggung jawab mereka terhadap kepemimpinan mereka."
Di dalam sirah, dapat kita melihat siri-siri pembaiatan taat setia kepada Rasulullah SAW seperti Baiatul Aqabah.
Baiah ini terbahagi kepada dua iaitu:-
Baiah Ini'qad: Baiah para rakyat untuk menjadikan yang terpilih itu khalifah atau pemimpin yang sah.
Baiah Taat: Baiah akan taat kepada khalifah yang telah terpilih di dalam
Baiah Ini'qad.
Apabila sudah baiah, maka kita sekali-kali tidak boleh membatalkan baiat kita kerana hadis,
مَنْ نَزَعَ يَدَهُ مِنْ طَاعَةٍ لَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُجَّةٌ
“Barangsiapa yang mencabut tangannya dari mentaati imam (tidak mahu taat kepada pemerintah), maka dia tidak memiliki hujjah pada hari kiamat”
[HR Ahmad - sahih]
BAGAIMANA JIKA ADA PEMIMPIN YANG KEDUA DI DALAM KERAJAAN YANG SAMA
Jika ada pemimpin kedua, maka kekalkan lah ketaatan kepada pemimpin yang pertama tadi dan tinggalkan yang kedua. Hal ini kerana dalil,
إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
“Jika ada dua khalifah dibaiah, maka bunuhlah yang dibaiah terakhir”.
[HR Muslim]
Misal daripada kejadian ini ialah telah muncul sekelompok khawarij moden yang cukup suka membuat pengeboman di tempat-tempat awam demi menjatuhkan pemerintah yang sedia ada. Di Indonesia dan Filipina, kejadian pengeboman seperti ini juga berlaku. Malah di Filipina sehingga melibatkan penculikan orang awam agar dapat menjatuhkan pemimpin.
Berhadapan dengan mereka ini, maka adanya hadis yang menceritakan cara berhadapan orang yang menentang pemerintah iaitu,
مَنْ بَايَعَ إِمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَثَمَرَةَ قَلْبِهِ فَلْيُطِعْهُ إِنِ اسْتَطَاعَ فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعُهُ فَاضْرِبُوا عُنُقَ الْآخَرِ
“Barangsiapa berbaiah seorang imam (penguasa), ia memberikan tapak tangannya dan hatinya, maka hendaklan ia mentaatinya sesuai dengan kemampuannya, jika kemudian ada orang lain yang menentangnya, maka penggallah leher orang itu”
[HR Imam Muslim]
Jelas di sini hukum asalnya ialah kita perlu membunuh si penentang tersebut. Maka halal darah mereka pemberontak (bughah) kepada pemerintah.
BAIAH KEPADA AMIR JEMAAH
Sesetengah jemaah dan parti berbaiah kepada ketua-ketua mereka. Jika.baiah yang dimaksudkan ialah taat setia sebagaimana baiah pemimpin, maka perbuatan mereka telah menyimpang dari Islam. Baiah secara mutlaknya hanya ada pada khalifah dan bukannya pada ketua jemaah atau parti.
Ini kan pula ada parti yang sangat taksub akan baiah sehingga mengatakan akan talak isterinya jika membatalkan baiah mereka.
Tidak ada ketua jamaah yang boleh dibaiah dan baiah itu tidak sah. Jika pemimpin ialah dari parti A, maka tidak boleh tiba-tiba kita berbaiat sumpah kepada pemimpin parti B.
Begitu juga jika di Malaysia, baiah telah disumpahkan kepada yang DYMM Yang Di-Pertua Agong, maka sebarang baiah kepada jemaah tertentu ialah tidak sah.
Namun ada sesetengah jemaah yang hanya menggunakan 'istilah' baiah tetapi tidaklah melakukan akad baiah sebagaimana yang dibuat kepada pemerintah. Maka hal ini dibolehkan kerana hakikatnya ia masih tidak dikira baiah. Adapun begitu lebih baik tidak menyandarkan perbuatan itu dengan istilah 'baiah' kerana ia bakal mengelirukan dan membawa fitnah.
Juga sesetengah parti yang menuntut ahli-ahlinya untuk mentaati ketua mereka secara membabi buta. Ada juga jemaah yang mengajarkan untuk mementingkan jemaah kerana kononnya perjuangan jemaah ialah perjuangan Islam. Sehingga ada diantara ahli mereka yang sanggup meninggalakan isteri yang sakit di rumah untuk ke program jemaah mereka atas alasan "perjuangan Islam" . Inilah di antara contoh-contoh ketaatan kepada ketua jemaah secara membabi buta.
Sedang ahli tersebut meninggalkan isteri mereka yang mengandung di rumah atas alasan 'perjuangan Islam', sedangkan risiko buruk itu ada. Ketahuilah bahawa Saidina Uthman RA dibenarkan untuk tidak menyertai Perang Badar oleh Rasulullah SAW kerana menjaga isterinya yang sakit. Sedangkan perjuangan di Perang Badar ialah perjuangan paling aula jika di bandingkan dengan perjuangan jemaah-jemaah kalian pada hari ini. Itu pun Rasulullah SAW tidak memaksa Saidina Uthman RA untuk turut berperang.
Malah sesetengah jemaah yang mewajibkan ahli mereka untuk bertanya kepada 'Naqib' mereka sebelum melakukan sesuatu hal. Malah ingin pulang ke kampung halaman juga kadang kala perlu bertanya kepada naqib dahulu. Inilah antara contoh ketaatan membabi buta yang ditanam di dalam sesetengah hizbi yang wujud. Sedangkan Baiah hanya sah kepada pemimpin negara.
Wallahualam
___________________________
~ Taufiq Tuah~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment