OLEH: Taufiq Tuah
Setiap jemaah membawa ideologi tersendiri dan tidak akan setuju kepada ideologi selainnya. Namun, saya masih lagi memuji usaha sesetengah pihak yang cuba menyatukan jemaah-jemaah ini dengan membentuk pakatan atas nama yang lebih umum.
Namun artikel kali ini lebih ingin menyentuh tentang permasalahan taksub. Taksub dalam kata lain terlampau taksub sehinggakan apa sahaja dibuat oleh jemaahnya ialah benar walaupun jelas ia salah.
Lebih membimbangkan apabila ada yang taksub sehingga menjual agama sendiri. Mencipta hadis-hadis palsu dan mengeluarkan slogan-slogan yang berbaur keji. Misalnya slogan kebiasaan kita dengari ialah,
"Undi kami, masuk syurga!"
atau
"Mati semasa lawan kerajaan, mati syahid!"
atau
"Hancurkanlah kerajaan sebagaimana menghancurkan ahzab!"
Slogan-slogan ini ialah keji dan sangat ditegah di dalam Islam. Walau teruk manapun kita tidak sepandangan dengan kerajaan, jemaah perlu lah disiplin dalam berhujah.
"Undi kami, masuk syurga!" Jika ditanya kepada ahli jemaah berkenaan tentang slogan ini, mereka akan cuba mendefinisakan dengan definisi yang jauh. Misalnya, "Kami perjuangkan Islam.Jika menentang perjuangan kami, maka memusuhi Allah.". Kemudian muncul lagi ketaksuban nyata yang lainnya. Islam tidak pernah menjadikan undi jemaah tertentu sebagai tiket untuk ke syurga.
Mati semasa melawan kerajaan dikira syahid? Melawan kerajaan ialah kerja-kerja puak khawarij dan bukannya didalam kerangka ahlisunnah wal jamaah. Terutamanya apabila kerajaan kita ialah kerajaan Muslim. Mati melawan kerajaan jika dimaksudkan dengan mengangkat keris dan menghalakan kepada kerajaan adalah dikira sebagai bughah.
Sebaiknya kita mendoakan kebaikan kepada kerajaan dan jika Allah SWT kehendaki, Allah SWT tahu lah mengubahnya. Mungkin Allah akan mengubah sifat pemimpin yang sedia ada dan menjadikan kita boleh menerimanya. Mungkin juga Allah akan menaikkan kepimpinan baru di dalam kerajaan. Apa sahaja jalannya dari Allah, kita tidak sepatutnya mendoakan kehancuran dan segala yang buruk kepada muslim yang lain terutamanya terhadap ulul amri yang masih ada imannya.
Menasihati ulul amri ialah cara yang baik dan dituntut. Lebih baik menasihati kerajaan dengan kaedah yang lembut berbanding memaki hamun mereka di kedai kopi mahupun disidang media. Walaupun mungkin kita daripada jemaah yang berbeza, namun menegur dan menasihati ialah tanggungjawab seorang Muslim.
Pentaksub jemaah ini haruslah dibendung . Setiap jemaah mesti mendidik ahli-ahli mereka supaya tidak taksub kepada parti mereka secara berlebihan. Terutamanya apabila ia melibatkan penyanjungan seseorang tokoh dan penggunaan hadis palsu.
Kita tidak mahu ada yang menjadikan jemaah mereka sebagai mazhab mereka. Sebagaimana sesetengah organisasi di Malaysia yang ahli mereka sewenang-wenangnya mengatakan "Kami manhaj Ikhwanul Muslimin". Sedangkan Islam mestilah bermanhaj dengan minhajinnubuwah dan salafussoleh. Ketaksuban organisasi lah akhirnya membentuk perpecahan umat Islam. Pernah dahulu makmum parti PAS tidak boleh berimamkan imam UMNO. Malah banyak perceraian berlaku kerana perbezaan pandangan politik. Semuanya bermula dengan, taksub jemaah.
Wallahualam
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________




Comments
Post a Comment