Tathayyur Di Dalam Nusantara

OLEH: Taufiq Tuah

Apa Itu Tathayyur?
Tathayyur atau Tiyarah ialah menganggap sesuatu perkara mampu menentukan baik buruk dalam takdir.


Misal?
Masyarakat Arab ada yang menganggap bahawa apabila mereka keluar dari rumah, maka burung yang melintasi hadapan mereka akan menentukan nasib perjalanan. Jika burung  terbang ke arah kanan, maka mereka akan peroleh keberuntungan sementara jika burung terbang kekiri pula akan membawa malang. Malah mereka membatalkan perjalanan mereka setelah burung tersebut terbang ke kiri.


Hukumnya?
Haram dan termasuk di dalam lembah kesyirikan.



Dalil?
لاَعَدْوَى، وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ، وَلاَ صَفَرَ.
“Tidak ada penyakit menular, tidak ada tiyarah, hamah, dan tidak ada pula (bulan) Safar.”
 (HR. al-Bukhari no. 5757)

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، ثلاَثًا
Tiyarah adalah syirik, tiyarah adalah syirik (beliau ucapkan tiga kali)….”
 (HR. Abu Dawud no. 3910, dinyatakan sahih oleh asy-Syaikh Al-Albani)


Adat Melayu Tathayyur?
Maka telah dijelaskan serba sedikit tentang Tathayyur. Maka jelas bahawa hukumnya ialah haram dan syirik. Namun, apa yang kita khuatirkan ialah Tathayyur sebenarnya telah melekat di dalam budaya Nusantara secara umumnya. Antara yang kita boleh lihat Tathayyur di alam Nusantara ialah,

1. Mempercayai Safar Ialah Bulan Membawa Sial. Budaya dahulu merasakan bahawa bulan Safar ialah bulan yang membawa sial sehinggakan pelbagai ritual atas nama Islam yang dicipta (direkayasa) oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan meyakini bahawa Safar ialah bulan pembawa sial ialah perbuatan Tathayyur dan harus dibendung. Pada bulan Safar lah menjadinya bulan di mana mereka (Nusantara) membuat istiadat mandi Safar dan ada pula yang pergi ke melawat ke makam yang tertentu di bulan Safar kononnya hal tersebut dapat menghindari sial. Semua perbuatan ini bukan datang dari Islam dan merupakan perbuatan batil.

2. Meyakini Bahawa Ada Nombor Yang Membawa Tuah Dan Malang. Orang-orang Syiah menganggap bahawa huruf 12 ialah huruf yang membawa tuah kerana nisbah kepada 12 imam maksum Syiah. Jelas bahawa ia perbuatan syirik. Namun Ahli Sunnah Wal Jamaah juga ada sebahagiannya yang menggunakan angka tertentu untuk membawa tuah. Sedangkan hal ini juga termasuk di dalam perbuatan syirik, Antara angka yang sering digunakan ialah 786 yang mana kononnya angka ini ialah nisbah kepada istillah 'Bismillahirrahmanirrahim". Perbuatan ini juga sebenarnya termasuk di dalam kekejian tathayyur.

3. Bertathayyur Dengan Al-Quran. Ada yang membaca ingin menilik takdir dengan membuka mushaf Al-Quran secara rawak (randomly) kemudian membaca maknanya. Jika ayat tersebut tentang bala, maka nasibnya akan malang. Ada juga yang menggantungkan ayat-ayat suci tertentu di dinding rumah agar rumah sentiasa mendatangkan tuah dan keberuntungan. Segala perbuatan ini ialah perbuatan batil. Sungguh tidak malu kerana mereka menyandarkan hal-hal tersebut kepada Al-Quran.

4. Ada Yang Bertathayyur Dengan Pinggan Atau Cawan Yang Pecah. Kononnya apabila mereka cuai memecahkan pinggang, mangkuk atau cawan, maka ada petanda tidak baik yang bakal berlaku terhadap dirinya atau terhadap orang yang tersayang. Ini juga merupakan perbuatan batil.

5. Juga Adanya Orang Nusantara Bertathayyur Dengan Tempat. Kononnya ada sesetengah kawasan yang tidak boleh dalalui kononnya jika lalu, perkara buruk bakal menimpa. Juga mereka mengatakan jangan sampai terkena badi kawasan tersebut. Ada juga yang mengatakan bahawa "Si Fulan telah sakit kerana Si Fulan telah kencing di kawasan itu..". Percakapan ini juga sebenarnya mampu mengundang syirik. 

6. Tidak Menyebut Nama Haiwan Yang Mempunyai 4 Kaki Jika Berada Di Atas Sungai Atau Laut. Ini juga merupakan Tathayyur yang sangat popular kerana kononnya apabila melanggar pantang larang ini bakal membawa kepada musibah. Sedangkan segala musibah atau kelapangan hanya datang daripada Allah SWT.

7. Tathayyur Dengan Tilikan / Telekan. Hal ini juga termasuk di dalam Tathayyur. Antara telekan yang biasa bagi orang Nusantara ialah telekan tapak tangan. Di mana tukang telek akan membelek tangan seseorang untuk ditentukan nasibnya. Namun masyarakat kita juga telah ramai yang terpalit dengan telekan bintang 'Zodiac' amalan Greek. Juga tidak terlupa ada yang mempercayai telekan daripada aplikasi-aplikasi telekan di dalam Facebook. Semua perbuatan ini ialah termasuk Tathayyur.

8. Bertathayyur Dengan Rama-Rama. Ada juga orang kita yang mengatakan jika terlihat rama-rama di dalam rumah, bermaksud akan ada tetamu yang ingin bertandang. Ini juga termasuk di dalam kepercayaan munkar.




Kesimpulan: Perbuatan Tathayyur ialah perbuatan yang membawa kepada Syirik. Wajib bagi kita untuk membendungnya dan menjelaskan pengharamannya kepada masyarakat memandangkan masyarakat kita tidak pun jauh dengan kekejian tersebut. Wallahualam.


___________________________
 Taufiq Tuah
  ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments