Ulasan Isu Hadi Fayyadh

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Seorang yang mengambil masa berbelas-belas tahun mengkaji dan menyelidik sebelum menghasilkan satu ubat tentu tidak berpuas hati dengan orang yang tidak tahu-menahu tentang sains perubatan dan tidak pernah melakukan penyelidikan tiba-tiba mengeluarkan ubat yang kemudiannya laris di pasaran.

Begitulah perasaan ustaz-ustaz yang bertungkus lumus bertalaqqi, menghafal, menelaah kitab, melakukan kajian dan penyelidikan siang dan malam apabila menemui buku-buku berunsur agama yang ditulis oleh orang yang berpengetahuan cetek tentang asas ilmu agama tetapi diangkat oleh masyarakat.

Tentang hadis semalam, saya jelaskan lebih terperinci di sini bahawa ia adalah palsu sebagaimana yang dijazamkan oleh al-Lajnah al-Da'imah, Syeikh Ibnu Baz, dan lain-lain. Sebenarnya, berdasarkan usul dirayah lagi - dari lafaz dan bentuk hadis tersebut - sudah dapat dicam bahawa ia adalah palsu.

Saya tidak tahu ada ulama yang sekadar menda'ifkannya. Kalau benar ada yang sekadar menda'ifkan, maka kita memerlukan alasan untuk mentarjih pendapat tersebut. Mengatakan "ada ulama kata da'if" untuk mewajarkan tindakan menyebarkan hadis tersebut samalah seperti merokok dengan alasan ada ulama yang sekadar memakruhkannya.

Boleh jadi, ulama yang kononnya sekadar menda'ifkan hadis tersebut mutasahil seperti Imam al-Sayuti, sebagaimana kata Syeikh al-Ghumari, maka pendapat ulama seperti itu tidak boleh diterima. Atau, sebenarnya tiada ulama yang seladar menda'ifkan, dan yang ada cumalah ulama yang memasukkannya ke dalam kitab mereka seperti al-Dhahabi dan Ibnu Hajar al-Haytami tanpa sanad.

Dan kalaupun benar ia da'if, adakah ia da'if yang ringan seperti hadis yang diriwayatkan oleh 'Asim b. 'Ubayd Allah al-'Umari atau rawi-rawi yang dihukum thiqah oleh Ibnu Hibban secara bersendirian, atau da'if yang berat seperti hadis yang diriwayatkan oleh rawi muttaham atau hadis yang diriwayatkan dalam kitab Syiah daripada beberapa rawi majhul seperti hadis ini? Kedua-duanya tidak dijazamkan palsu tetapi da'if berat hampir-hampir menyamai palsu.

Kalaupun ia ringan, tidak semudah itu menyebarkan hadis. Ulama meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi namun kesemuanya tidak ada pada hadis ini mahupun pada cara yang digunakan oleh "ustaz" atau adminnya untuk menyebarkannya.

Wallahualam.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments