Al-Bayhaqi Menafikan Sifat 'Uluww?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Imam al-Bayhaqi (458 H) adalah seorang ahli hadis bermazhab Shafi'i. Pada masa yang sama, beliau juga berakidah Ash'ari. Bahkan, boleh dikatakan beliau adalah ahli hadis yang pertama memilih akidah tersebut kerana sebelumnya, ahli hadis semuanya beraliran Salafi.

Oleh itu, tidak peliklah mengapa beliau menolak beberapa sifat Allah seperti 'uluww.



Sebagai makluman, mazhab Ash'ari pada zaman al-Bayhaqi sudah mengalami sedikit perubahan. Jika sebelumnya, para ulama Asha'irah memilih mengithbatkan sifat 'uluww - tanpa takwil dan tasybih -, pada zaman beliau amalan takwil semakin mendapat tempat.

Bukti bagi kenyataan di atas ialah kata-kata beliau sendiri:

"... Dan telah kami sebutkan (riwayat-riwayat) daripada ulama-ulama mutaqaddimin kami tentang meninggalkan perbahasan tentang (ayat-ayat mutashabihat) seperti ini dengan beriktikad menafikan had*, tasybih, dan tamthil daripada Allah SWT."
[Al-Asma' wa-al-Sifat; j. 2, h. 334] 

*'Had' yang dimaksudkan oleh al-Bayhaqi ialah tempat sekali gus menafikan bahawa ulama-ulama mutaqaddimin Asha'irah menetapkan sifat 'uluww bagi Allah. Tetapi, ini hanyalah pada pandangan beliau sebagai seorang Asha'irah muta'akhkhirin. Ulama-ulama mutaqaddimin Asha'irah apabila memperkatakan ayat-ayat mutashabihat sekadar mengithbatkannya tanpa menyebut tentang masalah had.

Istilah 'had' ini digunakan juga oleh ulama dengan maksud lain sebagaimana yang dinukilkan daripada Ibnu al-Mubarak. Wallahualam.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments