Idola Ialah Sembahan

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Elakkan menggunakan perkataan idola apabila merujuk kepada orang yang sangat diminati dan dikagumi.

Ini kerana asal maksud perkataan ini dalam bahasa Inggeris merujuk kepada apa yang dijadikan sebagai objek sembahan.

Idol: A representation of an object of worship.

Lihat contoh terjemahan ayat Al-Quran di bawah:

قَالُوا۟ نَعۡبُدُ أَصۡنَامࣰا فَنَظَلُّ لَهَا عَـٰكِفِینَ
"Mereka menjawab: Kami menyembah berhala-berhala maka kami akan berkekalan menyembahnya."
"They said: We worship idols and remain to them devoted."
[Al-Quran, al-Shuʿarāʾ, 26: 71]

Maklum bahawa bukan itu erti yang dimaksudkan dengan perkataan idola tetapi dalam masa yang sama perkataan-perkataan yang samar-samar atau yang boleh menimbulkan salah faham sewajarnya dielakkan sebagaimana prinsip yang ditekankan dalam agama.
Sabda Nabi ﷺ:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِه.
“Barang siapa memelihara dirinya daripada perkara-perkara syubhah (samar-samar) maka dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Niat dalam hati memang penting tetapi perkataan dan amalan juga tak kurang pentingnya malah sama-sama penting.

Lihat bagaimana Nabi ﷺ menegur Sahabat yang berkata:

مَا ‌شَاءَ ‌اللَّهُ ‌وَشِئْتَ.
"Apa yang Allah dan engkau mahu."

Baginda ﷺ membalas:

"Adakah engkau telah menjadikan aku sekutu bagi Allah? Katakan: Apa yang Allah semata-mata mahu."
[Sahih. Riwayat Ahmad]

Sedangkan Sahabat tersebut tidak berniat sama sekali hendak menyekutukan Nabi Muhammad ﷺ dengan Allah ﷻ tetapi baginda ﷺ tetap menegurnya kerana perkataan yang digunakannya itu membawa maksud sedemikian.

Penting untuk menjaga perkataan-perkataan yang digunakan kerana Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، ‌لَا ‌يُلْقِي ‌لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ.
“Sesungguhnya seseorang itu barangkali mengucapkan satu kalimah yang dimurkai Allah ﷻ tanpa dia peduli lalu menyebabkan dia dihumban ke dalam Neraka Jahanam.”

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.


ARTIS JADI IDOLA SEMBAHAN DI BARAT
Semalam telah dibahaskan tentang perkataan ‘idola’ dan dijelaskan bahawa ia kembali kepada maksud sesuatu yang dijadikan sebagai sembahan.

Dalam Al-Quran, Allah ﷻ menyatakan bagaimana orang-orang Kristian telah menjadikan para pendeta dan rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah ﷻ (al-Taubah, 9:31) dan Nabi ﷺ menyatakan bahawa ia kerana para pendeta dan rahib ini telah dijadikan sebagai ikutan dalam menghalalkan apa yang diharamkan serta mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah ﷻ.

Nabi ﷺ kemudian bersabda:
فَتِلْكَ ‌عِبَادَتُهُمْ.
“Demikian ialah (bentuk kalian) menyembah mereka.”

Ini sebenarnya yang berlaku di banyak negara barat pada hari ini di mana masyarakatnya menjadikan para artis, pelakon dan ahli sukan sebagai ikutan dan contoh sehingga melanggar banyak batasan agama.

Justeru tidak salah untuk mengatakan bahawa masyarakat barat telah menjadikan artis-artis mereka seperti tuhan dengan sayang dan membesar-besarkan para artis mereka ini.
Malah ada yang menggilai mereka ke tahap seperti orang gila.

Ini dapat disaksikan apabila artis-artis ini naik atas pentas atau kelibat mereka kelihatan di tempat-tempat awam di mana peminat-peminat mereka ada yang seperti kerasukan hilang akal menjerit-jerit dan menangis-nangis kerana dapat melihat ‘idola’ kesayangan.
Ini menjelaskan maksud idola yang digunakan dalam bahasa Inggeris.
Bukan sekadar sesuatu yang sangat diminati dan dikagumi malah dipuja dan disembah.


PENAFIAN 
Ada yang mengandaikan tulisan tentang 'idola' ditujukan kepada pihak tertentu.
Tidak benar.
Tiada mana-mana nama atau mana-mana pihak yang disebut.
Itu hanya andaian yang bersifat sangkaan semata-mata.
Muslim diingatkan supaya tidak membina pendiriannya atas sangkaan.
Kerana hal tersebut boleh menjerumuskan diri kepada dosa.
Firman Allah ﷻ:

 یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱجۡتَنِبُوا۟ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمࣱ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa."
[Al-Quran, al-Ḥujurāt, 49: 12]

Saya melihat kesan buruk sangkaan itu benar-benar telah berlaku sepertimana yang dapat dilihat dalam sesetengah komen.
Tibayun tanpa tabayyun. 
Wallahul mustaan.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments