1 Zulhijjah : Larangan Memotong Rambut dan Kuku

OLEH: Dr Idris Sulaiman

Pengumuman Penyimpan Mohor semalam mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1444H ialah pada hari Selasa, 20 Jun 2023.

Maka Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia adalah pada hari Khamis, 29 Jun 2023.  

Bagi yang akan melaksanakan ibadah korban, Nabi ﷺ bersabda: 
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أَهَلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ.
“Barang siapa mempunyai haiwan korban yang hendak disembelihnya, sekiranya telah tampak anak bulan Zulhijah maka janganlah dia mengambil apa-apa daripada rambutnya ataupun kukunya sehingga dia berkorban.” 
[Sahih. Riwayat Muslim]

Zahir perintah Nabi ﷺ membawa erti wajib manakala larangan baginda ﷺ bererti haram sedangkan tiada nas-nas lain yang dapat memalingkan perintah dan juga larangan yang terkandung dalam hadis di atas. 

Oleh itu wajib atas sesiapa yang hendak menyembelih haiwan korban bagi dirinya supaya tidak memotong rambut, janggut, misai dan kukunya sehingga selesai disembelih haiwan korbannya. 
Adapun golongan yang disembelih haiwan korban bagi pihak mereka seperti isteri, anak-anak dan ahli keluarga maka zahirnya suruhan dan larangan di atas tidak merangkumi mereka. 

Sekalipun demikian, jika mereka menahan daripada memotong rambut dan kuku mereka maka itu adalah baik untuk keluar daripada khilaf memandangkan ramai ulama yang merangkumkan mereka dalam maksud hadis. 




[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments