Menghadiahkan Pahala Untuk Si Mati

OLEH:  Dr Fadlan Mohd Othman

Pandangan al-Imam al-Syafi'i terhadap menghadiahkan bacaan kepada orang yang sudah mati
(menurut al-Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir Ibnu Kathir, Surah al-Najm 53, ayat 39:)

Berkata al-Imam Ibnu Kathir:
(( Dan daripada ayat yang mulia ini, al-Imam al-Syafi’i rahimahullah dan orang yang mengikutinya telah beristinbat bahawa bacaan itu tidak sampai hadiah pahalanya kepada orang-orang yang mati kerana ianya bukan daripada amalan mereka dan bukan juga daripada usaha mereka. Disebabkan inilah Rasulullah s.a.w. tidak mensunatkannya ke atas umatnya dan tidak pula menggalakkan mereka kepadanya atau menunjukkan mereka kepadanya samada dengan nas mahupun isyarat. Perkara ini tidak pula dinukilkan daripada seorangpun para sahabat r.a. Jika perkara ini baik pasti mereka akan mendahului kita kepadanya.

Perbincangan tentang al-qurubat (perkara yang mendekatkan kepada Allah) adalah perkara yang dibataskan kepada nas-nas dan tidak sekali-kali boleh diuruskan oleh jenis-jenis qiyas mahupun pendapat.

Berkenaan doa dan sedekah, kedua perkara ini telah disepakati sampai pahalanya dan dinyatakan berkenaannya dalam syarak.

Berkenaan hadith yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda “Sekiranya mati seorang insan, amalannya terputus kecuali daripada tiga: daripada anak salih yang mendoakannya, atau sedekah berterusan selepasnya, atau ilmu yang dimanfaatkan.” Tiga perkara ini sebenarnya adalah daripada usahanya, titik peluhnya dan amalannya, seperti mana terdapat dalam hadith: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang lelaki ialah daripada usahanya. Dan sesungguhnya anaknya adalah daripada usahanya.”

Sedekah yang berterusan seperti waqaf dan sebagainya adalah daripada kesan amalannya dan waqafnya. Allah Ta’ala telah berfirman (Yasin: 12): “Sesungguhnya kami yang menghidupkan orang yang mati dan kami catatkan apa yang mereka dahulukan dan juga kesan-kesan mereka.”
Ilmu yang disebarkannya kepada manusia lalu diteladani oleh manusia selepasnya juga adalah daripada usahanya dan amalannya. Telah terdapat dalam hadith sahih: “Sesiapa yang mengajak kepada hidayat, dia akan dapat pahalanya seperti pahala-pahala orang yang meneladaninya tanpa dikurangi pahala mereka sedikitpun.” ))


___________________________
~Dr Fadlan Mohd Othman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments