2 Perbuatan Yang Menyebabkan Haram Berbuka Puasa

OLEH: Ustaz Abu Mu'aaz Munir Azizan


Seperti yang kita sedia maklum, haramnya berbuka puasa dibatasi waktu, iaitu bermula waktu subuh dan berakhir bila masuk waktu maghrib.

Ada ke batas perbuatan? Sebagai contoh, bila dah masuk waktu maghrib, seseorang melakukan sesuatu perbuatan, terus dia dah tak boleh melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, jimak dan sebagainya?

Salah seorang sahabat Nabi yang bernama Qais Ibnu Sirman radiAllahu'anhu (seorang Ansar) pernah pengsan disebabkan tidak sempat berbuka puasa kerana tidak sengaja melakukan salah satu daripada perbuatan yang mengharamkan berbuka puasa.

Ini terjadi sewaktu Qais mengerjakan tanah beliau pada siang hari.

Kemudian apabila tiba waktu berbuka puasa, beliau pun pulang ke rumah.

Malangnya di rumah beliau tidak ada sebarang makanan.

Lalu isteri beliau keluar untuk mencari makanan, manakala Qais tunggu di rumah.

Malang sekali lagi, apabila isteri Qais tiba di rumah, beliau dapati Qais tertidur akibat keletihan bekerja.

Sebab apa malang?

Ibadah puasa diturunkan oleh Allah dalam beberapa fasa.

Setiap fasa ada perubahan hukum sehinggalah fasa terakhir iaitu puasa yang kita sedang amalkan sekarang ni.

Pada fasa ketika peristiwa Qais di atas ni, hukum puasa ketika itu adalah - perbuatan tidur akan menyebabkan bermulanya hari berpuasa seterusnya.
.
Faham tak? 😁

Oleh sebab itu, apabila Qais bangun daripada tidur, dia dah tak boleh makan, yang menyebabkan Qais terpaksa berpuasa 2 hari berturut-turut tanpa berbuka!

Pada keesokan harinya, Qais pengsan ketika sedang bekerja.

Setelah diceritakan kepada Nabi sollAllahu'alaihiwassalam kejadian yang menimpa Qais, Allah turunkan Ayat 187, dalam Surah Al-Baqarah.

(Boleh rujuk sendiri dalam Al-Quran).

Ayat 187 ni pun turun berperingkat... Nanti kita cerita, insyaALLAH.

Selain tidur, satu lagi perbuatan yang menyebabkan bermulanya hari puasa seterusnya (sebelum turun Ayat 187 ni) adalah solat Isyak.

Selepas solat Isyak (bukan masuk waktu Isyak ye), umat Islam ketika itu dah tak boleh melakukan perbuatan yang membatalkan puasa.

Lepas bagi salam solat Isyak je, bermula lah puasa hari berikutnya.

Takde hal la kan tak boleh makan dan minum lepas solat Isyak...

Tapi jangan lupa, perkara yang membatalkan puasa ni bukan makan dan minum saja... Apa aktiviti lain yang biasa dilakukan lepas Isyak yang membatalkan puasa kalau dilakukan waktu siang? 😉



Jadi, para sahabat radiAllahu'anhum pun bergembiralah dengan turunnya Ayat 187 ni.

Cuma timbul persoalan tentang waktu bermula puasa.

Persoalan timbul bila dalam Ayat 187 ni Allah berfirman yang bermaksud:

"... sehingga jelas bagi kalian benang putih daripada benang hitam".

Waktu awal penurunan Ayat ni, belum ada sambungan "... iaitu fajar".

Jadi, bermacam-macam lah cara para sahabat lakukan untuk tentukan waktu mula berpuasa.

Ada yang mengikat benang putih dan hitam di kaki - selagi tidak jelas perbezaan 2 warna benang ni, selagi itu mereka makan sahur.

Ada yang menghampar 2 benang putih dan hitam ni di bantal masing-masing.

Maka, setelah diceritakan kepada Nabi, Allah turunkan sambungan Ayat - "... iaitu fajar".

Sekarang jelaslah maksud benang putih dan hitam tu, iaitu perbezaan siang dan malam.


Untuk kisah lengkap Ayat 187, Surah Al-Baqarah ni, boleh la rujuk kitab tafsir masing-masing.



Kesimpulannya di sini, tempoh puasa kita pada hari ini dah tak ada batas perbuatan, yang ada hanyalah batas waktu iaitu maghrib dan subuh.
.
Dan kita boleh faham bahawa kisah Qais tadi berlaku selepas hijrah Nabi ke Madinah sebab dinyatakan bahawa Qais adalah kaum Ansar.
.
WaALLAHu'alam.

___________________________
~Ustaz Abu Mu'aaz Munir Azizan~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments