Imam Syafie Khatam Al-Quran 60 Kali Pada Bulan Ramadhan?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi




Dalam manuskrip Fawā’id Abī Bakr al-Zubayrī yang belum ditahqīq dan diterbitkan ini, dicatatkan bahawa Abū Bakr al-Zubayrī (332 H) mengatakan, “dan saya mendengar al-Rabī‘ b. Sulaymān mengatakan ‘al-Shāfi‘ī (204 H) mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan sebagainya 60 kali.”

Walaupun sanad ini bermasalah kerana Abū Bakr al-Zubayrī tidak diketahui dianggap thiqah kecuali oleh Maslamah b. al-Qāsim (353 H) yang dituduh berdusta, namun ada riwayat lain yang sahih dan sabit juga daripada al-Rabī‘ b. Sulaymān, murid besar beliau mengatakan perkara yang sama.

Antaranya ialah riwayat al-Bayhaqī (458 H) dalam Manāqib al-Shāfi‘ī daripada Abū ‘Abd al-Rahmān al-Sulamī, daripada al-Dāraquṭnī, daripada Abū Bakr al-Naysābūrī, daripada al-Rabī‘ b. Sulaymān, katanya:

“Al-Shāfi‘ī khatam 30 kali setiap bulan dan beliau khatam 60 kali dalam bulan Ramadan selain yang dibacanya dalam solat.”
Sanad ini sangat sahih.

Cuma, ia bertentangan dengan riwayat Ibnu Abī Ḥātim dalam Adab al-Shāfi‘ī yang menyebut bahawa “setiap kali (khatam) itu di dalam solat.”

Dalam riwayat al-Bayhaqī yang lain daripada jalan Abū al-Ḥusayn al-Ḥaddād daripada al-Rabī‘ disebutkan bahawa beliau mengkhatamkan “sekali pada waktu siang, dan sekali pada waktu malam.”

Dalam riwayat lain iaitu riwayat al-Bayhaqī daripada jalan al-‘Abbās b. al-Faḍl al-Arsūfī disebutkan dengan terperinci bagaimana al-Rabī‘ mengetahui perkara ini. Al-Rabī‘ kononnya bercerita bahawa “aku keluar bersama Muḥammad b. Idrīs al-Shāfi‘ī daripada Fustat ke Iskandariah murābitan (untuk mengawal sempadan?). Beliau solat lima waktu di masjid jamek. Kemudian, beliau ke maḥras (tempat kawalan?) lalu menghadapkan mukanya ke laut sambil duduk membaca al-Quran pada waktu malam dan siang sehinggalah aku mengiranya khatam sebanyak 60 kali.” Malang seribu kali malang, riwayat ini tidak boleh diterima kerana al-‘Abbās b. al-Faḍl al-Arsūfī dituduh menipu. Matannya juga mengandungi keganjilan.

Walau bagaimanapun, sebagaimana yang disebutkan tadi, perkara ini sabit daripada al-Rabī‘ sekurang-kurangnya melalui riwayat al-Bayhaqī menerusi jalan Abū Bakr al-Naysābūrī tadi. Sama ada kita percaya atau tidak, riwayat ini sahih dan bukannya direka-reka seperti banyak kisah-kisah yang diceritakan oleh penceramah yang lain.

Selain Imam al-Shāfi‘ī, Imam Abū Ḥanīfah (150 H) juga diriwayatkan berjaya khatam sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan. Ibnu al-Ḥaddād (345 H), salah seorang rawi athar ini daripada al-Rabī‘ seperti dalam salah satu riwayat al-Bayhaqī tadi, juga diriwayatkan cuba melakukan perkara yang sama tetapi gagal. Beliau cuma berjaya khatam sebanyak 59 kali sahaja.

Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments